Sunday, August 10, 2008

Pembelajaran Fiqah Perlulah Selaras dengan Peredaran Zaman

Kita mungkin seringkali mendengar iklan Berita Harian yang popular dengan kata-kata "Dunia dah berubah, zaman dah maju". Hakikatnya, semua benda memerlukan perubahan, kecuali satu, iaitu asas-asas agama. Perkara itu sahaja yang tidak akan berubah, kerana jika asas-asas tersebut diubah, maka hancurlah Islam, dicemari dengan pelbagai fahaman-fahaman yang menyesatkan.
Apa pentingnya perubahan ini? Hal ini berdasarkan kata-kata Umar al-Khattab: "Didiklah anakmu itu berbeza dengan keadaan kamu sekarang, kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zamanmu." Walaupun secara jelas isi kandungan kata-kata tersebut merujuk kepada pendidikan anak-anak, tetapi dalam masa yang sama kata-kata tersebut menunjukkan perlunya perubahan. Kemungkinan pendidikan pada zaman dahulu sesuai pada zaman itu sahaja, tetapi bukan pada zaman era sains dan teknologi, di mana sekarang dunia menjadi semakin kecil.

Begitu juga dengan pendidikan ilmu fiqah. Bidang ini juga memerlukan perubahan (tajdid) atau pembaikan (islah) agar selaras dengan peredaran zaman. Apabila bercakap tentang ilmu fiqah, perlu dijelaskan kepada yang bukan Muslim bahawa fiqah ialah satu pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili. Secara mudahnya, fiqah merujuk kepada pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang difahami melalui bukti-bukti, sama ada ayat-ayat al-Quran, hadis, persepakatan para ulama atau hasil ijtihad seseorang mujtahid.

Berbalik kepada persoalan utama, apabila bercakap tentang fiqah, akan tergambar dalam minda remaja kini tentang orang yang berjubah dan berserban, menyimpan janggut yang panjang, sambil membawa kitab-kitab fiqah klasik, yang mana muka suratnya berwarna kuning, tulisannya memerlukan cermin mata yang besar kuasanya untuk dibaca. Juga tergambar bahawa seseorang perlu menghadap tok guru membaca kitab tersebut, dan beranggapan fiqah ini susah. Sebenarnya pandangan ini tidak benar. Fiqah tidak susah sebenarnya, percayalah. Penulis telah mempelajari asas-asas ilmu fiqah. Memang cukup senang.

Fiqah pada zaman Nabi Muhammad SAW cukup senang. Para sahabat akan mengikut apa yang Nabi Muhammad lakukan. Sekiranya mereka tidak faham, mereka akan bertanaya, dan Rasulullah akan menjawab pertanyaan mereka. Begitu juga pada zaman sahabat, tabiin dan tabi' tabiin. Namun, fiqah ini mula menampakkan kesukaran pada zaman lahirnya empat mazhab fiqah utama: Hanafiyah, Malikiyah, Syafiiyah dan Hanbaliyah. Di sini. fiqah menjadi sukar dan bertambah sukar apabila ajaran keempat-eempat pengasas mazhab dikembang oleh anak muridnya.

Bukanlah saya hendak mengatakan keempat-empat pengasas mazhab menjadikan fiqah semakin susah. Cuma fiqah semakin susah apabila banyak masalah baharu berlaku apabila zaman mulai beredar, yang mana sudah tentulah memerlukan hukum baharu berlandaskan firman Allah dan sunnah Nabi-Nya, misalnya hukum merokok. Untuk itu, ilmu usul al-fiqah atau cara mengeluarkan hukum syarak berdasarkan dalil-dalil diperlukan.

Kalau dahulunya para ulama klasik mempelajari ilmu fiqah bersandarkan kitab-kitab klasik, yang mana ayatnya panjang, maka zaman kini, kitab-kitab tersebut haruslah disaringkan atau diringkaskan tanpa mengubah maksudnya. Para pembaca zaman kini bukannya seperti dahulu: ayat yang panjang boleh membuatkan mereka cukup bosan. Alhamdulillah, para ulama semasa mula mengubah pendekatan tersebut.

Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi misalnya, dalam kebanyakan buku yang dikarangnya terutama berkenaan fiqah dan usul al-fiqah, beliau menulis secara mudah agar memudahkan para pembaca faham. Dalam bukunya Fiqh Amali, beliau menyatakan: "Bagi keperluan ini, kita perlu menulis dengan bahasa yang mudah dan penulisan yang sederhana. Tidak menggunakan bahasa yang berbelit-belit. Juga bukanlah penulisan yang dibuat-buat."

Walaupun begitu, dalam melaksanakan apa-apa perubahan, pasti terdapat 1001 masalah yang mendatang. Begitu juga dengan fiqah. Oleh kerana pembelajaran fiqah di Malaysia banyak dipengaruhi oleh istilah-istilah Arab, maka adakalanya para pelajar tidak begitu faham. Oleh yang demikian, terpulanglah pada budi bicara guru untuk mengajar fiqah, asalkan mudah bagi pelajar untuk faham. Guna istilah bahasa Melayu pun tidak mengapa, misalnya tahrim menjadi haram, karahah menjadi makruh.

0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?