Friday, August 15, 2008

Khutbah - Ramadhan: Peluang yang Amat Besar

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dan jauhilah diri daripada membazirkan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Manfaatkanlah masa yang kita miliki dengan melakukan aktiviti yang berfaedah agar kita mendapat keredaan Allah ‘Azza Wa Jall.
Ayyuhal Muslimun,

Dalam kesibukan dunia dan kepayahan mengejar kemewahan material, manusia tetap menyedari bahawa dia memerlukan ruang di mana dia boleh mendapat kelapangan dan kesenangan agar dia boleh menyegarkan dirinya dan menguatkan azamnya untuk maju ke hadapan dalam perjalanannya menuju puncak kejayaan.

Kekuatan adalah suatu nikmat yang sangat berharga bagi seseorang Muslim kerana ia membantu seseorang untuk mencapai kebenaran dan merealisasikannya, membantu seseorang itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi, membantunya untuk berjaya dan seterusnya membawa kepada kecintaan terhadap Allah SWT.

Sebab itulah dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan disayangi oleh Allah berbanding orang mukmin yang lemah. Tetapi terdapat kebaikan dalam kedua-duanya.” [Muslim]

Oleh yang demikian, semua orang yang mempunyai akal akan bersetuju bahawa seseorang harus mencari dan melakukan apa-apa yang membawa kepada keredaan Allah. Allah SWT telah menyediakan peluang dalam seumur hidup bagi hamba-hambaNya yang mana mereka boleh mencapai matlamat tersebut. Ibadat puasa dan kemuliaan bulan Ramadhan termasuk dalam peluang-peluang tersebut.

Bulan Ramadhan adalah suatu cara untuk mengembangkan kekuatan seseorang dalam semua aspek; menahan diri daripada makan, minum dan apa-apa yang membatalkan puasa, bersabar, bangun pada tengah malam untuk beribadat serta kekal cergas adalah sebahagian daripada cara menguatkan kekuatan dan semangat seseorang. Malah, kesemua ini juga merupakan peluang yang sangat besar dan boleh menjadi titik pengubah yang menjadi keinginan bagi mereka yang mempunyai visi; mereka yang merendah diri kepada Tuhan mereka dan mencari jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya. Ibadat puasa merupakan transformasi menuju kehidupan yang lebih baik; perubahan daripada hina dalam kemaksiatan kepada cemerlang dalam ketaatan; daripada kelemahan dan kemalasan kepada kekuatan dan kerajinan; daripada budaya yang buruk dan tabiat yang dibenci kepada kelakuan yang baik dan bermoral.

Ummatal-Islam,

Ibadat puasa mengandungi elemen kekuatan, keteguhan dan semangat yang kuat yang merupakan alat yang diperlukan bagi sesiapa yang ingin mencapai kedudukan yang tinggi serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

NOTA: Ini merupakan khutbah yang kedua penulis sampaikan pada prayer service yang baharu penulis sampaikan hari ini. Anda boleh mendapatkan dokumen khutbah tersebut dalam format PDF di sini. Anda juga boleh mendapatkan slide presentation untuk khutbah ini di sini berserta dengan manualnya di sini.

0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?