Apabila ilmu pengetahuan menjadi sesuatu yang terlalu penting dalam sesebuah masyarakat, boleh jadi kewajipan-kewajipan yang lebih utama akan diabaikan... itulah kesan dunia pendidikan di Malaysia kini....Amat mengejutkan lagi membimbangkan, itulah yang berlaku di dalam masyarakat Malaysia kini, terutamanya yang beragama Islam. Ibu bapa masa kini terlalu mementingkan dan mengutamakan pendidikan, sehingga aspek kerohanian diabaikan. Itulah yang berlaku ke atas keluarga saya, terus terang saya katakan. Hari ini, saya meminta izin daripada kedua-dua ibu bapa saya untuk menunaikan solat berjemaah bersama guru yang pernah mengajar saya mengaji dahulu. Namun begitu, mereka kata, "Habis, macam mana dengan pelajaran kamu? Nanti kamu tak ada masa nak belajar."
Berbagai-bagai hujah telah saya sediakan, namun mereka tidak menerima hujah saya. Mereka katakan, "Tak payahlah nak sibuk nak sembahyang berjemaah di masjid." Sebaik sahaja mereka menjawab sedemikian, saya terus pulang ke bilik saya dengan hampa. Hampa bukan kerana permintaan saya tidak dapat ditunaikan, tetapi hampa kerana melihat ibu bapa saya tidak mengetahui kewajipan mengerjakan solat secara berjemaah yang merupakan fardu kifayah.
Saya tak begitu kisah jika mereka tidak sembahyang (saya tidak berani nak tegur, takut dikatakan kurang ajar, derhaka). Mereka amat menghormati saya apabila saya bersembahyang. Namun, saya sedih, sudahlah mereka tidak menunaikan sembahyang, malah tidak mengizinkan saya ingin mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid (hanya ketika bulan Ramadan sahaja diizinkan, itupun bersama dengan keluarga kawan baik saya untuk sembhayang tarawih).
Saya bukanlah hendak mengaibkan mereka, semoga Allah mengasihi mereka sebagaimana mereka mengasihi saya selama ini. Namun, apa yang saya cuba sampaikan ialah kesan daripada sistem pendidikan di Malaysia terlalu mendalam, terutamanya sistem peperiksaan, sehingga ibu bapa mengabaikan aspek lain seperti kerohanian. Saya juga bukanlah hendak mempertikaikan sistem pendidikan di negara kita yang telah terbukti keberkesanannya. Apa yang saya cuba sampaikan ialah janganlah ibu bapa mengutamakan pada satu-satu aspek sahaja sehingga aspek-aspek lain terabai.
Contohnya seperti di dalam situasi saya di atas. Saya nak nasihatkan mereka, nanti mereka label saya sebagai anak derhaka, anak kurang ajar. Tapi, kalau tak mengikut sunnah nabi, lagi susah. Serba salah saya dibuatnya. walau apa pun, itulah hakikat yang berlaku masa kini.
Ibu bapa terlalu obes dengan kecemerlangan anak mereka dalam pelajaran, sedangkan anak mereka gagal mematuhi suruhan Allah yang wajib kita patuhi sebagai umat Islam. Bukankah lebih baik mereka inginkan anak mereka cemerlang, sama ada dalam aspek pelajaran dan juga agama?












