Hati saya tergerak untuk menulis komentar ini setelah saya membaca sebuah artikel yang berjudul Mesrakah Masjid dengan Kanak-kanak? oleh Encik Hamizul Abdul Hamid. Setelah saya membaca keseluruhan rencana tersebut, hati saya tergerak untuk memberikan syarh atau komentar saya terhadap permasalahan ini.
Umumnya, masyarakat Islam kita sekarang, terutamanya Melayu, masih dikongkong pemikiran mereka dengan taklid atau pegangan yang telah bercampur antara syariah dengan adat yang-kita ketahui-tidak kesemuanya tidak menyalahi hukum syarak. Contoh yang paling nyata ialah mengenai masalah masjid dengan golongan muda, terutamanya kanak-kanak dan remaja (seperti saya). Rata-rata masjid dan surau di negara kita membahagikan saf di dalam masjid kepada empat atau lima bahagian, sebagaimana yang tercatat di dalam mana-mana buku teks Pendidikan Islam dan buku-buku agama mengenai solat. saf kanak-kanak dan remaja diasingkan daripada saf untuk makmum lelaki dewasa. begitu juga dengan saf bagi makmum perempuan.
Saya melihat perkara ini daripada beberapa aspek. Pertamanya, cuba kita fikirkan, mampukah ukhuwah islamiyah terbentuk jika ada perkara sebegini berlaku di tempat yang menjadi wadah pembentukan ukhuwah tersebut? Mampukah umat Islam bersatu jika keadaan sebegini berlaku? TIDAK! Saya percaya, jika keadaan sebegini berlaku, sampai bila-bila umat Islam tidak akan dapat mencapai persatuan seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. di dalam Surah Aal Imram ayat 103, maksudnya: "Dan berpengang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu becerai-berai." Jelas sekali kepada kita, dalam memupuk ukhuwah Islamiyyah, kita haruslah berpegang kepada ajaran yang sebenar yang berpaksikan kepada al-Quran dan as-Sunnah, bukannya berpaksikan kepada mazhab yang kita anuti.
Kedua, bayangkan, seorang bapa datang menunaikan sembahyang bersama anaknya yang masih muda. Jika anak tersebut diletakkan di kedudukan belakang sekali, mampukah si bapa ini menunaikan sembahyang dengan penuh khusyuk? TIDAK! Saya pasti semua ibu bapa sayangkan anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka diletakkan di saf yang paling belakang, saya jamin keadaan ini dapat menimbulkan rasa bimbang yang mampu membunuh rasa khusyuk si bapa ini ketika sembahyang. Khusyuk di dalam sembahyang amat penting, walaupun ianya bukanlah syarat sah sembahyang, kerana khusyuk mampu mencegah kita daripada perbuatan keji dan mungkar, sepertimana firman Allah di dalam Surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: "Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar."
Yang ketiga, dari segi amalan Rasulullah dan para Sahabat. seperti yang telah dinyatakan oleh oenulis rencana tersebut, saya juga terlah berusaha mencari nas-nas al-Quran dan hadis yang menyatakan mengenai putus saf atau melarang kanak-kanak kecil bersama lelaki dewasa di saf yang sama, tetapi malangnya tidak ditemui. Sebaliknya, hal yang bertentangan pula yang ditemui., iaitu Nabi Muhammad S.A.W. meraikan kanak-kanak kecil di masjid. Di antara hadis yang menyokong hal ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, maksudnya: Dari Anas bin Malik R.A., beliau berkata, "Aku pernah bersolat di rumah kami bersama seorang kanak-kanak yatim di belakang Nabi S.A.W. dan ibuku, Ummu Sulaim di belakang kami."
Dan yang keempat dan kelima, dari segi kemurnian agama Islam dan pembentukan modal insan. Dalam membentuk modal insan dalam diri generasi muda, kita harus semaikannya dengan benih-benih agama yang bersih daripada sebarang tokok tambah yang pastinya boleh memesongkan kepercayaan sebenar seseorang terhadap Islam, sedangkan Rasulullah S.A.W. melarang penokoktambahan ini, seperti yang disebut di dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Daripada Ummul Mukminin, Aisyah R.A., katanya: Rasulullah S.A.W. terlah bersabda, "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ia adalah ditolak.""
Jika generasi muda didedahkan dengan berbagai-bagai penokoktambahan yang telah saya jelaskan, pastinya mereka akan mengenali agama Islam yang telah tercemar dengan pelbagai tokok tambah yang tidak ada kaitan dengan Islam, sekaligus akan membentuk generasi yang terkongkong pemikirannya dengan fahaman yang salah mengenai Islam. Hal ini sekaligus menggagalkan usaha kerajaan membentuk modal insan yang cemerlang, seperti yang diinginkan oleh Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kita.
Alhamdulillah, perkara sebegini tidak berlaku pula di masjid di bandar Sarikei. Saya masih teringat, semasa saya menunaikan solat Jumaat atau apa-apa sahaja solat berjemaah di situ, saya sentiasa akan mengambil saf yang depan, tetapi tidaklah terlalu di belakang imam, hanya sekadar di tepi sahaja. Tiada seorang makmum pun yang menegur perbuatan saya, malah ada yang bersalaman sebelum dan selepas solat, sepertimana mereka bersalaman dengan makmum lain. Saya berasa wajar bahawa amalan sebegini menjadi contoh kepada umat Islam.
Setelah saya meneliti rencana tersebut, saya akhirnya telah mencapai kepada satu kesimpulan umum, bahawa masyarakat Islam kita masih terkongkong pemikiran mereka dengan pemikiran tradisional. Hal ini perlu diubah dengan kita kembali kepada ajaran yang sebenar, yang berpaksikan kepada al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mazhab, seperti yang telah saya tegaskan tadi.
Sekian, wallahu a'lam bis-sowab.






1 comments:
Bagus...teruskan berblog
Hamizul Abdul Hamid
Post a Comment
Apa Kata Anda...?