Thursday, December 20, 2007

Islam pada Masa Kini

Hari ini merupakan hari di mana seluruh umat Islam merayakan Hari Raya 'Aid al-Adha atau Hari Raya Korban. Semasa saya sedang menuju ke rumah saya, saya terlihat seorang lelaki tua sedang mencari-cari sesuatu di sekitar tangga masjid. Dia kelihatan mencari sesuatu yang penting baginya.

Berasa kasihan terhadapnya, saya bertanya kepadanya, "Pak cik, pak cik cari apa?" Jawabnya, "Pak cik cari selipar pak cik, nak." Saya pun membantunya mencari-cari seliparnya, namun tidak kami temui seliparnya.

"Mungkin dah dicuri, pak cik," kata saya kepadanya setelah puas mencari seliparnya di sekeliling masjid. Pak cik itu hanya mampu mengalah. Mujurlah selipar yang dipakainya selipar lamanya. Namun, kasihan pula apabila melihatnya pulang ke rumahnya dengan berkaki ayam.

Timbul di hati saya rasa kasihan dan juga rasa kesal saya terhadap generasi baru Islam hari ini. Sehinggakan selipar buruk pun mereka hendak mencuri, seolah-olah tidak mampu membeli selipar yang murah. Inikah Islam yang cuba ditunjukkan kepada yang bukan Islam?

Jika inilah Islam yang cuba ditonjolkan kepada dunia, maka tidak hairanlah Islam terus mendapat imej yang buruk di mata dunia. Islam yang merupakan cara hidup yang sempurna dan lengkap, tidak seharusnya akan berlaku hal sebegini di rumah Allah. Seharusnya kita sebagai umat Islam yang mendakwa kita membawa ajaran yang benar, menonjolkan contoh yang baik kepada mereka yang memerlukan bimbingan, sesat, dibuai lena, dan inginkan kebenaran. Jika ini berterusan, sampai bila-bila Islam akan terus dipandang hina.

0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?