Saturday, October 18, 2008

Tersepit di Antara Dua

Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;
[The Road Not Taken oleh Robert Frost]

Saya seorang penganut Islam. Sebagai penganut Islam, saya haruslah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Saya juga harus beriman kepada Nabi Muhammad. Saya juga haruslah mencintai Allah dan Rasulullah. Kalau saya cintakan Rasulullah, bermakna saya juga harus cintakan Ahlul-Bait (ahli keluarga Rasulullah). Tetapi, pada masa yang sama, saya juga tidak harus mengkafirkan para sahabat yang lain.

Namun begitu, berbagai-bagai perkara yang bermain di benak fikiran saya. Salah satunya ialah kebenaran di sebalik peristiwa Karbala pada 10 Muharram 61 H (9 Oktober 680 Masihi).

Semasa saya masih mentah di alam sekolah menengah, saya gemar membaca kisah-kisah para Sahabat dan Ahlul-Bait (Ali, Fatimah, Hassan dan Husain). Di kala saya membaca tentang kisah Zainab al-Kubra, adik kepada Saidina Hassan dan Saidina Husain, saya sedih dengan apa yang menimpa kepada Keluarga Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Karbala.

Dalam peristiwa itu, Keluarga Nabi Muhammad SAW itu (yang dalam perjalanan menuju ke Kufah) dibiarkan kehausan dan diperangi oleh tentera-tentera Umar bin Sa'ad yang berada di bawah kumpulan Ibnu Ziyad. Hampir kesemua rombongan Keluarga Nabi Muhammad itu terkorban. Hanya beberapa orang sahaja yang terselamat, termasuklah Zainab al-Kubra dan Ali Zainal Abidin.

Kepala Saidina Husain pula dipenggal dan diarak mengelilingi bandar Kufah. Di kediaman Gabenor Iraq, iaitu Ibnu Ziyad, kepala Saidina Husain dipermain-mainkan oleh Ibnu Ziyad. Dan dalam buku tersebut, dikisah bahawa, sebelum peristiwa Karbala, Saidina Hassan telah diracun oleh isterinya sendiri. Semasa pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan dan Yazid bin Muawiyah dalam zaman Kekhalifahan Bani Umaiyyah, mereka telah memerintahkan para khatib agar mencerca Ahlul-Bait dalam doa khutbah mereka. Itulah pembacaan saya ketika itu. Hanya ketika zaman Umar bin Abdul Aziz, arahan itu dihentikan dan ditarik.

Namun, apabila saya semakin matang dan matang dalam alam persekolahan menengah ini, saya semakin didedahkan dengan bermacam-macam informasi. Tahun lalu, saya mula tertarik untuk membaca buku-buku karangan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Antara buku beliau yang saya baca ialah Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-tokohnya. Di dalam buku tersebut, dinafikan bahawa Yazid bin Muawiyah merupakan dalang dalam kes pembunuhan Saidina Husain bin Ali di Karbala. Malah, dinyatakan juga melalui sumber-sumber yang dipetik oleh mufti berkenaan bahawa Yazid bersedih atas kematian Saidina Husain, namun tiada tindakan diambil ke atas pembunuh Saidina Husain.

Dari situ, saya mula keliru. Saya mula tersepit di antara dua jalan: jalan yang menolak Yazid dan jalan yang menyokong Yazid.

Hujah yang membela Yazid bin Muawiyah (saya petik sebahagian daripada hujah mereka):
Adapun peristiwa pembunuhan cucu Nabi SAW, Husain bin Ali RA, tidak ada bukti dia (Yazid) menyuruhnya atau terlibat dengannya. Bahkan ahli sejarah yang adil telah meriwayatkan bahawa beliau telah menangis atas kematian Husain dan melaknat pembunuhnya. Penduduk Syam yang hadir turut menangis bersamanya. Bahkan hubungan baik Yazid dan anak Saidina Husain, iaitu Ali bin Husain (Ali Zainal Abidin) berterusan selepas itu. Mereka sering mengutus surat-menyurat antara mereka. Bahkan, Ali bin Husain menganggap yang membunuh ayahnya adalah Syi'ah di Kufah yang menjemput ayahnya datang dan menipunya. Cumanya Yazid dipertikaikan kerana tidak membunuh balas terhadap pembunuh Husain. [Ibnu Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/49, cetakan al-Maktabah al-Ilmiyyah, Beirut/Muhibb al-Din al-Khatib, ulasan terhadap Al-'Awasim min al-Qawasim, 240-241]

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. 2005 (Cetakan Kedua). Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-tokohnya. Selangor: Karya Bestari Sdn. Bhd.


Dan hujah yang menolak Yazid ialah (saya juga petik satu daripada hujah mereka):

2. Andai benar Yazid rasa bersalah, bertaubat dan tidak bertanggungjawab terhadap pembunuhan kejam di Karbala pada tahun 61H, apa peranannya sebagai Raja untuk menghukum komander-komander perang yang membantai keluarga Rasulullah di Karbala? Mengapa Yazid tidak menghukum mereka? Siapa yang melaporkan Yazid bertaubat? Lupakah kita pada ayat al-Quran 'sesungguhnya persangkaan itu tidak berguna sedikit pun untuk mencapai kebenaran (lihat surah Yunus: 36). Jangan main agak-agak dalam hal begini! Mengapa pula Yazid tidak berhenti mencaci keluarga Nabi di atas mimbar. Ketika pemerintahan bapanya mula mencaci Saidina Ali bukankah Ummu Salamah isteri Rasulullah pernah menegur perbuatan ini (dilaporkan oleh Ibnu Abd Rabbih, dalam al-'Iqd al-Farid). Dan tahukah tuan-tuan di Karbala, tujuh putera Saidina Ali dibunuh dalam satu hari iaitu, antara lain Saidina Husin, Saidina Abbas dan Saidina Jaafar. Semuanya disembelih. Di Karbala juga dua cicit Rasulullah (anak Saidina Husin) yang masih anak-anak disembelih. Juga anakanda Saidina Hasan iaitu Abdullah, Abu Bakar dan Qasim. Setelah pembunuhan ini, kalau benar Yazid tidak bersalah tidakkah ini satu skandal politik yang amat menggoncangkan! Chua Soi Lek pun tahu letak jawatan, masakan Yazid tidak malu meneruskan pemerintahan dan tidak menyerahkan hak dan tampuk pemerintahan kepada umat Islam semula. Biar umat Islam yang menentukan siapa yang wajar memimpin mereka. Tidak, Yazid tidak buat begitu - kerana dia memang bersalah dan pembunuhan Imam Husin penting untuk meneruskan kedudukannya sebagai raja. Malah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Burdah (lihat Ibnu Katsir al Bidayah wan Nihayah) Yazid menjolok-jolok mulut pada kepala Imam Husin yang sudah terpenggal dengan tongkatnya. Kerana poin itu, kita sunni menolak Yazid.

3. Setelah tragedi Karbala berlaku, adakah Yazid rasa bersalah? Tidak, malah Yazid yang diagung dan dipujakan oleh lelaki yang menulis dalam kolum setiap hujung minggu ini telah mengutus Muslim bin Uqbah serta Husain Numair al Sakuniy untuk membantai pula gerakan Abdullah bin Zubair yang berkubu di Mekah. Abdullah bin Zubair anak mut'ah Asma' Abu Bakar dan Zubair bin Awwam menjadi sasaran baru. Sama seperti hari ini juga, siapa sahaja yang membangkang akan dimusnahkan. Dan macam biasa, waktu itu tiada tivi, akhbar dan radio maka mimbar masjid dan ulama akan dijana sepenuhnya untuk menyebar propaganda yang pembangkang adalah perosak, pemberontak dan macam-macam hujah lain. Ketika ingin menawan Abdullah bin Zubair kota Mekah telah dikepung, Kaabah yang mulia ditembak dengan manjanik hingga rosak dan terbakar kelambunya. Tugas membunuh Ibn Zubair itu disempurnakan oleh pewaris takhta sesudah Yazid.
Kerana poin itu, kita sunni menolak Yazid.

Faisal Tehrani, 2008.
Kita Menolak Yazid Bukan Kerana Karbala Sahaja!. Malaysia: http://tehranifaisal.blogspot.com/

Prinsip saya: saya tetap berpegang pada wahyu daripada Allah (Al-Quran) serta tradisi Nabi SAW (As-Sunnah). Namun, dalam hal sejarah seperti ini, saya kurang arif disebabkan kurangnya minat saya untuk mempelajari subjek Sejarah KBSM yang telah membosankan kebanyakan pelajar di Malaysia.

Pendapat dan komen daripada anda semua? Saya amat memerlukannya (sekalipun daripada yang bukan Muslim).

0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?