إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجَا، قَيِّمًا لِيُنْذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِنْ لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا .أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ .صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ إِلَى يَوْمِ الآخِرَةَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ، اِتَّقُوا اللهَ.
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan hadirin hadirat sekalian agar meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT. Firman ALLAH SWT:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar, supaya DIA memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan sesiapa yang taat kepada ALLAH dan RasulNYA, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. – Surah al-Ahzab : Ayat 70 – 71
Kita rakyat Malaysia sangat berbangga kerana kita mempunyai seorang hafiz al-Quran yang muda, iaitu Adik Muhammad al-Hafiz. Tetapi, perkara ini bukanlah suatu perkara yang asing bagi umat Islam sebenarnya kerana generasi ulama terdahulu telah menghafaz al-Quran pada usia yang begitu muda. Kita juga berbangga dengan kejayaan Azali Azlan yang memperoleh 21 A dalam peperiksaan SPM yang lalu. Namun, generasi ulama terdahulu telah melangkah lebih jauh daripada itu. Imam Syafi‘i umpamanya, telah diberi pengiktirafan oleh guru-gurunya untuk menjadi syeikh (guru) di Masjid al-Haram dan kebenaran mengeluarkan fatwa pada usia 15 tahun.
Selaklah kembali muka surat sejarah kegemilangan umat Islam. Pastinya kita akan teruja dengan kemajuan yang dicapai oleh mereka, yang menjadi ikutan umat Barat. Secara keseluruhannya, terdapat tiga unsur yang menjadi tunjang dalam kejayaan mereka: keimanan yang mantap, kesungguhan untuk berjaya dan akhlak.
Unsur yang pertama dalam kejayaan para ulama ialah keimanan yang mantap terhadap Allah SWT. Semenjak kecil, mereka telah dididik dengan didikan agama yang sempurna. Mereka bukan sahaja dididik dengan budaya membaca dan menghayati al-Quran, malah mereka dididik dengan budaya mengamalkan ibadat wajib dan sunat, terutamanya ibadat qiamullail. Keimanan telah menjadikan mereka sentiasa berusaha mencari dan menuntut ilmu pengetahuan untuk mengenali Penciptanya, ALLAH ‘Azza Wa Jall. Keimanan juga menjadi mereka ikhlas dalam beribadat hanya kerana ALLAH, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada ‘Umar bin al-Khattab RA: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat ganjaran berdasarkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana ALLAH dan RasulNYA, maka hijrahnya kerana ALLAH dan RasulNYA. Barangsiapa yang berhijrah kerana habuan dunia atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ingin ditujuinya.” - Muttafaqun ‘Alaih
Selain itu, generasi ulama terdahulu juga memiliki kesungguhan untuk berjaya. Mereka bersungguh-sungguh menuntut ilmu tanpa mengenal erti penat sehingga sanggup merantau meninggalkan kampung halaman. Faktor kemiskinan dan kecacatan yang ada pada diri sesetengah daripada mereka tidak menjadi batu penghalang, malah menjadi pendorong untuk terus berusaha. Misalnya, Imam Syafi‘i yang berasal dari keluarga yang miskin, tanpa segan silu mengutip kertas di pejabat yang dibuang untuk digunakan untuk mencatat nota pelajarannya. Manakala Abu Bakar Muhammad bin Zakaria ar-Razi tetap meneruskan penyelidikannya tentang kimia dan penulisannya mengenai bidang perubatan, walaupun beliau buta pada usia 40 tahun. Sanggupkah anda melakukan seperti yang dilakukan oleh mereka? Tepuk dada tanyalah diri anda.
Sidang Jumaat sekalian,
Seperti yang kita ketahui, generasi ulama terdahulu masyhur dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji. Mereka sangat menghormati ibu bapa dan guru, sangat mementingkan disiplin, tidak sombong dengan ilmu yang ada dan berhati-hati dalam soal halal haram yang sudah semestinya mempengaruhi kehidupan mereka. Adalah sia-sia sahaja seseorang itu cemerlang dalam pelajaran, tetapi akhlaknya tidak menggambarkan keilmuannya. Hal ini berdasarkan kata-kata Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ ‘Ulumuddin:
Maksudnya: Ilmu tanpa amal adalah gila, amal tanpa ilmu adalah sia-sia.Sidang Jumaat yang dirahmati ALLAH sekalian,
Akhir khutbah, mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian, marilah kita lakukan anjakan paradigma ke atas diri kita. Marilah kita contohi sikap-sikap yang diamalkan oleh generasi ulama terdahulu. Mimbar juga menyeru kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan sekalian, agar melipatgandakan usaha pada musim peperiksaan yang akan berlangsung tidak lama lagi, terutamanya kepada calon PMR, SPM dan STPM, di samping membanyakkan doa dan amalan-amalan sunat serta tawakkal kepada ALLAH SWT. Diharapkan agar usaha yang dilakukan mendapat balasan setimpalnya daripada ALLAH SWT, dan kita semua tergolong dalam golongan yang berjaya, dunia dan akhirat.
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ” :قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُوا الأَلْبَابِ “.بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُّنَّةَ، وَنَفَعَنَا بِمَا فِيهِمَا مِنَ الآيَاتِ وَالْحِكْمَةَ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ تَعَالَى لِي وَلَكُمْ.
NOTA: Khutbah ini disediakan sendiri oleh Abdul Hakim Lukhman al-Yusufi.






0 comments:
Post a Comment
Apa Kata Anda...?