Setiap kali saya merenung nasib malang yang dialami oleh umat Islam sekarang, hati saya akan berkata, "Mengapakah umat Islam tidak seperti umat yang lain? Ilmu bukan main banyak yang sudah dituntut, tetapi mengapa masih mundur?"Persoalan inilah yang bermain di benak fikiran saya sejak tahun lalu, dan persoalan ini akhirnya terjawab apabila penulis membaca novel Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Novel ini telah memenangi tempat kedua Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Ke-20. Petikan di dalam novel tersebut yang telah menjawab persoalan saya ialah:
Ketika Faruq berusia sebelas tahun, bapanya telah membawa dia mendengar syarahan akademik tentang masalah umat Islam di Universiti New Delhi. Bapanya telah mengesan kecenderungannya meminati hal-hal politik. Malah Faruq sendiri yang mendesak bapanya membawa dia ke majlis intelektual tersebut.
Ahli akademik yang menyampaikan ucapan ialah Profesor Dr. Recep Gul. Profesor Dr. Recep menekankan bahawa masalah umat Islam ialah mereka ketinggalan dalam bidang ilmu, berbanding dunia Barat. Selesai ucapan tersebut, dalam sesi soal jawab, Faruq Sahrandi dengan selamba bangun dan mencabar inti syarahan Profesor Dr. Recep. Kata Faruq, masalah umat Islam yang sebenar bukanlah ketinggalan dalam bidang ilmu, tetapi masalah adab dan akhlak sehingga membibitkan banyak masalah masyarakat, termasuklah tidak menghormati ilmu itu sendiri.
(Petikan daripada novel Detektif Indigo, ms 55, terbitan Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd).
Di mana silap kita? Peluang sudah diberi, tetapi mengapa umat Islam masih mundur? Melihat kepada isi yang cuba diluahkan oleh Faisal Tehrani dalam novel Detektif Indigo, sebab kita masih mundur ialah masalah adab dan akhlak kita. Memang saya akui, masalah gejala sosial yang disebabkan oleh berbagai-bagai faktor (termasuk faktor ibu bapa), merupakan sebahagian daripada masalah adab dan akhlak. Namun, ramai yang terlepas pandang akan sesuatu.
Sikap kita yang suka melabel seseorang apabila pendirian dia bertentangan dengan kebiasaan kita juga termasuk dalam masalah adab dan akhlak. Pantang sahaja dia melakukan sesuatu yang berbeza dengan kita (contohnya tidak membaca doa qunut ketika solat Subuh), dengan pantas kita melabelkannya dengan bermacam-macam gelaran seperti Wahhabi, Syiah dan sebagainya, tanpa meneliti sebab atau hujah dia melakukan sedemikian, sedangkan adakah mereka mengetahui apa yang mereka katakan. Nah, sudah nampakkah anda di mana masalahnya?
Ya, sikap ketakbsuban kita terhadap sesuatu mazhab atau parti itulah yang menyebabkan kita masih mundur, juga tergolong dalam masalah adab dan akhlak umat Islam yang harus ditangani dengan segera. Sungguh terkejut saya dibuatnya. Saya sangkakan kesan fanatik mazhab hanya sekadar menjejaskan mentaliti seseorang, rupa-rupanya lebih daripada itu. Kerana itulah, saya lebih suka jika saya tidak berpegang dengan mazhab fiqah Imam Syafi'i RA. Bukan bermakna saya menolak beliau. Malah saya amat menghormati beliau kerana adabnya dan keilmuannya. Andainya saya diberi peluang untuk hidup pada zaman Imam Syafi'i, pastinya saya akan mengambil peluang itu untuk menimba ilmu daripadanya. Begitu juga sanjungan saya dengan para tokoh-tokoh Islam yang lain, termasuk Ayatollah Ruhullah Khomeini dan Mahmoud Ahmadinejad. Sebaliknya saya suka jika tidak terikat dengan satu-satu mazhab fiqah.
Namun begitu, bagi yang tidak mempunyai keupayaan ijtihad yang tinggi yang hanya berpegang pada satu-satu mazhab, bukanlah bermakna mereka tidak boleh sembahyang bersama dengan mazhab Hanbali atau Maliki. Jikalau itulah yang diamalkan, nescaya di Masjid al-Haram wujud tempat yang dikhaskan untuk setiap mazhab. Alangkah eloknya seandainya setiap mazhab membuang sikap fanatik mereka, duduk semeja dan membincangkan apa yang patut dilakukan agar umat Islam bersatu dan maju. Alangkah eloknya seandainya seluruh umat Islam melakukan anjakan paradigma atau dalam erti kata lain, melakukan Islah, terhadap diri sendiri. Pastinya mereka akan sedar di mana silap mereka.
Marilah kita renungkan firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 8, maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Sesungguhnya kepada ALLAH aku kembali, dan kepada-NYAlah jua aku bergantung harapan.
http://ahls1412.blogspot.com/
PEMBERITAHUAN: Mulai minggu ini, penulis akan menyiarkan sebuah artikel setiap hari Ahad, insya-ALLAH, yang akan mengupas dan memberi pendapat mengenai isu-isu semasa, terutamanya berkenaan dengan masalah umat Islam.






0 comments:
Post a Comment
Apa Kata Anda...?