Sunday, June 22, 2008

Jelmaan Hantu Sebagai Cara Iblis Menggoda Manusia

Iblis menjawab: "Demi Kuat KuasaMU (wahai Tuhanku) aku akan menyesatkan mereka semua." - Surah Sad, 38:82
Begitulah yang Iblis bersumpah di hadapan ALLAH selepas penciptaan Nabi Adam. Dalam ayat di atas, Iblis telah berjanji akan menyesatkan manusia sehinggalah Hari Kiamat. Hal itu berlaku apabila ALLAH telah menciptakan Nabi Adam dan memerintahkan makhluk-makhluk ciptaanNYA agar sujud (hormat) kepada Nabi Adam. Kesemuanya mematuhi perintah ALLAH kecuali Iblis.

Alasan Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam ialah kerana Iblis menganggap dirinya lebih mulia berbanding Nabi Adam, memandangkan ALLAH menciptakan Iblis daripada api dan Nabi Adam daripada tanah. Disebabkan keengganan Iblis itu, ALLAH telah memerintahkan Iblis keluar dari Syurga. Pada ketika itulah, Iblis bersumpah akan menyesatkan umat manusia.

Terdapat berbagai-bagai cara Iblis menyesatkan manusia. Bukan sekadar dengan menggoda, tetapi juga termasuk dengan menggunakan kelemahan manusia, termasuklah menjelmakan diri mereka sebagai 'hantu'. Dan melalui cara inilah kebanyakan manusia sudah termasuk ke dalam perangkapnya.

Seperti anda tahu, ALLAH telah mengurniakan sepasang mata kepada kita, di mana rekaannya cukup sempurna. Namun begitu, ALLAH juga telah meletakkan kelemahan pada rekaan tersebut. Hikmahnya agar manusia mengetahui bahawa mereka hanyalah makhluk yang lemah di sisi ALLAH dan hanya DIA sahaja yang Maha Berkuasa.

Kelemahan yang ALLAH letakkan pada mata manusia ialah manusia tidak dapat melihat dengan jelas di dalam kegelapan, tidak seperti di dalam tempat yang terang. Iblis menggunakan kelemahan ini untuk menyesatkan manusia. Bagaimana? Dengan menjelmakan diri mereka sebagai apa yang masyarakat gelarkan sebagai hantu.

Apabila manusia yang lemah imannya terkena perangkap Iblis dengan melihat hantu, maka golongan ini automatik akan menjadi takut dan akan berbuat apa sahaja asalkan hantu tersebut tidak mengganggunya, sehingga manusia takut akan hantu. Di sinilah Iblis berjaya menyelesaikan misinya menyesatkan manusia.

Sekali lagi bagaimana? Apabila manusia takut akan hantu, ini bermakna dia dianggap bertuhankan hantu, bukan lagi bertuhankan ALLAH! Bukankah ini jelas menunjukkan unsur syirik (menyekutukan ALLAH dengan benda lain)? Apabila manusia sudah melakukan syirik, maka saat itulah Iblis bergembira atas kemenangannya menyesatkan manusia.

Bagaimana kita boleh menghadapi cubaan ini? Di sini penulis menyarankan beberapa langkah yang boleh dilakukan dalam menghadapi godaan Iblis ini.

Langkah yang pertama, kita hendaklah bertaubat. Walaupun kita merasakan kita tidak pernah melakukan dosa selama ini, lakukanlah, kerana boleh jadi kita pernah berbuat dosa tanpa kita sedari. Apabila diri seseorang manusia dipenuhi dengan dosa, maka lebih muda Iblis menyesatkan mereka berbanding mereka yang kuat imannya.

Langkah yang kedua, amalkanlah amalan membaca al-Quran setiap masa tidak kira di mana sahaja. ALLAH telah menurunkan al-Quran sebagai pelindung bagi manusia, sehingga Iblis dan Jin sendiri takut akan kekuatan al-Quran yang ALLAH jadikan, sebagaimana firman Allah:
Sekiranya KAMI turunkan al-Quran ini ke atas gunung, nescaya engkau dapati gunung itu tunduk serta pecah belah kerana takutkan ALLAH." - Surah al-Hasyr, 59:21
Antara ayat yang boleh kita amalkan (langkah paling asas) ialah Surah al-Fatihah, Ayat al-Kursi (Surah al-Baqarah, 2:255), Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, dan Surah an-Nas. Sekiranya anda berada dalam keadaan yang mana anda berasa cemas sehingga tidak dapat berkata-kata, cubalah membaca mana-mana ayat al-Quran yang anda tahu. Dan yang paling penting, sebelum anda memulakan apa-apa pekerjaan (tidak kira sebelum tidur, sebelum belajar atau sebagainya), bacalah ta'awuz (memohon perlindungan daripada ALLAH) dan basmalah (menyebut nama ALLAH).

Akhirul kalam, marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita, bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya), diikuti dengan amalan soleh. Mudah-mudahan Iblis sukar untuk menggoda kita agar kita tergelincir dari jalan yang lurus. Amiin.



0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?