Sunday, June 15, 2008

Ambillah Iktibar dari Surah Yusuf

Salah satu surah yang terdapat di dalam al-Quran ialah Surah Yusuf. Surah yang kedua belas, surah ini diturunkan di Makkah al-Mukarramah, dan mengandungi 111 ayat.
Surah dinamakan Surah Yusuf memandangkan kebanyakan ayah di dalam surah ini menceritakan tentang Nabi Yusuf, anak kesayangan Nabi Yaakub. Surah ini dimulakan dengan ayat berikut:

[1] Alif, Laam, Raa. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Qur'an yang menyatakan kebenaran.
[2] Sesungguhnya KAMI menurunkan Kitab itu sebagai Al-Qur'an yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

[3] KAMI ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan KAMI wahyukan kepadamu Al-Qur'an ini, padahal engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.

Secara keseluruhannya, Surah Yusuf mengandungi pelbagai pengajaran yang harus kita ambil, terutamanya ketika ini.

Yang pertamanya ialah kita seharusnya tidak berasa hasad dengki hanya disebabkan kita tidak memiliki kelebihan yang ada pada orang lain seperti yang dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf. Disebabkan Nabi Yusuf mendapat perhatian yang lebih daripada ayahnya berbanding dengan adik-beradiknya, abang-abang Nabi Yusuf menjadi iri hati, sehingga sanggup berkomplot untuk memisahkan Nabi Yusuf daripada Nabi Yaakub. Sikap seperti ini tidak seharusnya kita amalkan. Kita tahu, ALLAH telah mengurniakan kelebihan dan kelemahan yang bebeza pada setiap manusia. Janganlah kita menjadi seperti abang-abang Nabi Yusuf yang sanggup membuang Nabi Yusuf ke dalam perigi. Sesungguhnya perbuatan itu tidak akan mengubah kelebihan Nabi Yusuf dan juga abang-abangnya dan hanyalah sia-sia.

Yang keduanya ialah kita haruslah menegakkan kebenaran walau kita berada di dalam apa keadaan sekalipun. Di dalam ayat 22 hingga 35, setelah Nabi Yusuf meningkat dewasa, dia telah diftnah, kononnya dia telah menggoda isteri al-Aziz (yang telah membeli Nabi Yusuf setelah didagangkan oleh sekumpulan pedagang). Namun, kebenarab berpihak kepada Nabi Yusuf buat seketika, apabila Zulaikha menjemput beberapa orang wanita lalu menghasut mereka bahawa Nabi Yusuflah yang bersalah dalam hal tersebut. Walau bagaimanapun, Nabi Yusuf sabar menghadapi cubaan ini dan sanggup dipenjarakan. Inilah sifat terpuji yang harus kita amalkan, terutamanya orang-orang yang hipokrit. Hanya kerana kemewahan dunia, seseorang sanggup membelakangkan kebenaran. Akibatnya, orang lain yang menjadi mangsa. Sesungguhnya orang sebegini akan menerima balasan yang setimpalnya.

Yang ketiganya ialah kita seharusnya memanfaatkan kelebihan yang ALLAH kurniakan kepada kita. Dalam ayat 36 hingga 49, Nabi Yusuf telah memanfaatkan kelebihan mentafsir mimpi untuk menyelamatkan ekonomi Mesir ketika itu. Ini juga satu sikap yang patut ada dalam diri mereka yang mempunyai kelebihan yang mampu dimanfaatkan demi kemaslahatan ummah. Umat Islam seharusnya menggunakan kelebihan yang ada demi kegemilangan ummah seperti yang dialami ketika pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika Dinasti Kekhalifahan Bani Umayyah berkuasa.

Akhirul kalam, penulis mengajak semua pembaca, sama ada Muslim atau non-Muslim, marilah kita luangkan masa membaca dan mengkaji kisah Nabi Yusuf ini dalam Surah Yusuf. Percayalah, anda akan mendapat manfaatnya. Firman ALLAH SWT: "Ambillah iktibar wahai ulil-absar (orang-orang yang mempunyai akal)." - Surah al-Hasyr, 59:2.


0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?