Tinggal 2 bulan 9 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak yang dijangkakan tarikh 1 Ramadhan jatuh pada 1 September.Ketika di Surau Darul Ibadah tadi, pada mulanya penulis jangkakan surau itu juga sunyi seperti hari-hari sebelumnya, tiada jemaah yang lain. Tetapi, syukurlah doa penulis sebelum mengalunkan azan maghrib dimakbulkan. Ketika maghrib, dua jemaah yang datang, dan pada Isyak tadi lebih ramai jemaah.
Ketika Isyak tadi, orang lain pula yang mengalunkan azan kerana dia meminta penulis mengimami solat Isyak tersebut (sebabnya dia ingin mendengar bacaan penulis sebagai imam). Penulis sedaya upaya menolak, namun kemudian penulis teringat akan hukum menolak dari menjadi imam yang penulis baca dalam buku Bimbingan Penghayatan dan Kesempurnaan Solat (terbitan Nadi Minda Resources), di mana disebutkan:
Jangan menjadi imam kepada kelompok atau orang atau sesuatu jamaah, sekiranya mereka tidak menyukainya dan jangan hendak menjadi imam sekiranya diketahui bahawa di belakang di kalangan makmum itu terdapat orang yang lebih layak mengimami jamaah, kecuali jika orang itu menolak daripada mengimami mereka. Pada ketika itu, bagi orang yang menolak dari menjadi imam, makruh hukumnya.Dan ketika hendak memulakan solat selepas iqamah, penulis terlihat seorang anggota polis yang baru datang yang penulis tahu dia lebih baik daripada penulis. Jadi penulis segera memintanya menjadi imam, namun negatif responnya. Dia menolak.
Ketika mengimami solat Isyak, penulis merasakan gementar. Maklumlah, selama ini, penulis hanya menjadi imam kepada rakan-rakan penulis sendiri ketika solat. Inilah kali pertama penulis menjadi imam bagi kelompok di mana terdapat golongan dewasa dan kanak-kanak. Penulis memilih untuk membaca Surah al-An'am ayat 161 hingga 163 pada rakaat pertama dan ayat 164 hingga 165 bagi rakaat kedua setelah membaca Surah al-Fatihah bagi setiap rakaat.
Penulis masih ingat lagi, pada pagi tadi, perbincangan antara penulis dengan Abang Wan Muhammad Fahrurrazi dan senior tingkatan lima tadi. abang Wan ada menyebutkan tentang masalah umat Islam dan membandingkan dengan yang bukan Muslim. Menurutnya, orang Melayu jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain. Hujahnya:
- Gangster Melayu hanya menaiki motosikal bersenjatakan parang, sedangkan gangster Cina semuanya memiliki kehidupan mewah, berkenderaan mewah dan bersenjatakan pistol. Apabila bergaduh, orang Melayu senang kena tangkap, tapi orang Cina tidak.
- Kebanyakan orang Melayu payah sekali hendak pergi menunaikan solat ke masjid/surau, sekalipun untuk solat Jumaat. Orang Kristian pula, lebih rajin ke gereja untuk bersembahyang dan beribadat. Setiap Ahad, pasti kawasan letak kereta di gereja akan penuh berbanding dengan di masjid.
- Orang Melayu tiada kesungguhan seperti orang Cina. Apabila mendapatkan sesuatu, orang Cina akan berusaha mendapatkan apa yang diinginkannya (sekalipun terpaksa guna cara haram). Bukanlah menggalakkan berusaha cara haram, tetapi cubalah contohi sikap orang Cina yang bersungguh-sungguh. Kerana itulah, yang cemerlang dalam akademik di sekolah kebanyakannya orang Cina.
Apa nak jadi dengan umat Islam sekarang....
Umat Islam di Palestin dan Iraq hidup dalam kesengsaraan dan berpecah belah...
Umat Islam di Malaysia pula semakin mundur....
Politik di Malaysia kian gusar....
Perbalahan bercambah....
Ya Allah, turunkanlah pertolonganMU ke atas kami, sebagaimana yang telah KAUjanjikan kepada KekasihMU Nabi Muhammad...






0 comments:
Post a Comment
Apa Kata Anda...?