Wednesday, June 11, 2008

Kuiz Pengguna

Hari ini, tiada apa-apa yang menarik. Sama seperti hari-hari lain.
Bermula pagi tadi, seawal 7.15 pagi (awal ke tu?), pelajaran bermula dengan mata pelajaran Matematik. Sememangnya mata pelajaran yang diminati selepas Pendidikan Islam dan dinanti-nantikan (sesuai dimulakan pada awal pagi). Wah, hari ini, kelas 4A telah memasuki bahagian terakhir bab The Straight Line, iaitu Parallel Lines. Walaupun dalam keadaan yang bising, penulis masih boleh menumpukan perhatian dengan apa yang diajar oleh 'guru' kami (sebenarnya yang mengajar kami ketika ini ialah guru pelatih, sebab itulah kelas sedikit hingar bingar) dan sempat mencatat nota-nota penting. Namun, apa yang membuatkan kami malas pada akhir pelajaran ialah kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu. 13 soalan dan mesti disiapkan sebelum Jumaat ini. Apa ke jadah ni?

Kemudian, pelajaran diteruskan dengan Pendidikan Islam (alhamdulillah). Hari ini kami belajar mengenai Al-Ijarah atau dalam bahasa mudah sewaan. Rupanya mudah saja topik ini. Tidak sesukar yang disangka (kalau dilihat pada tajuk mungkin nampak sukar sebab kali ini kami belajar mengenai muamalah di dalam Islam, sekali pandang memang sukar, bukan?) Setelah itu, penulis serta pelajar Islam kelas 4A kembali ke kelas dan meneruskan pelajaran dengan subjek Bahasa Malaysia (Bahasa Malaysia ke Bahasa Melayu?). Juga tiada ada apa-apa yang menarik.

Semasa rehat, penulis bersama Nadzmi dan Azlan N pergi 'menghadap' Ustaz Manaf 'menagih' kertas ujian Tasawwur Islam yang kami duduki sebelum cuti lepas. Wah, alhamdulillah, penulis mendapat markah 96% (yang kemudiannya menjadi 98% disebabkan kesilapan semakan). Dan markah ujian Pendidikan Islam yang penulis peroleh ialah 95%. Memang benar-benar pencapaian penulis yang patut disyukuri. Alhamdulillahi rabbil-alamin.

Selepas rehat, pelajaran diteruskan dengan subjek Sejarah dan kemudiannya Fizik (subjek yang boleh dikatakan menarik tetapi menjadi bosan disebabkan keadaan tengah hari yang panas terik). Semasa Sejarah, kami mempelajari tiga topik: Hijrah, Piagam Madinah, dan Penyebaran Islam. Bagi penulis, topik ini boleh dikatakan mudah (kecuali Penyebaran Islam kerana hanya disebut sikit dalam PI Tingkatan 3 tahun lepas). Dan semasa Fizik pula, kami mempelajari bab yang baharu, iaitu Force and Pressure. Walaupun penulis (dan rakan sekelas) telah mempelajari mengenai pressure semasa tingkatan 3, tetapi entah mengapa, penulis dapat menangkap 60% daripada apa yang cikgu ajar.

Kemudian, pada tengah hari pula, penulis stay back di sekolah kerana ada kelas Sivik. Tetapi kemudiannya, kelas Sivik dibatalkan disebabkan kelas 4C menggunakan bilik AVA. Sebagai penolong ketua tingkatan (temporary sahaja), penulis terpaksa berhadapan dengan 'leteran' rakan sekelas yang berhempas pulas bersusah payah tinggal di sekolah semata-mata untuk menghadiri kelas luar sidang yang dijadualkan ada hari ini. Jadi, untuk mengisi kekosongan pada waktu itu, penulis pergi ke Surau al-Jauhari di SJS dan menunaikan solat zuhur di situ. Setelah itu, penulis me'lepak' di situ sehinggalah 2.30 petang. Sepanjang masa itu, penulis, Nadzmi, Azlan, dan Syukri melakukan kerja masing-masing dan adakalanya berbual dengan Ustaz Manaf yang juga berada di situ.

Dari 2.30 petang sehinggalah selesai solat Isyak tadi, tiada apa-apa yang patut penulis letak di blog ini kecuali hujan yang tersangat-sangat lebat.

Cuma penulis teringat bahawa Selasa minggu hadapan Kuiz Pengguna berlangsung, dan penulis seorang daripada pasukan yang mewakili SJS ke kuiz tersebut (ahli-ahli kumpulan yang lain ialah Stanley Teng, Roland Teo and Kelvin Jong). Penulis naik bengang, bagaimana penulis 'curi masa' untuk membaca dan mendapatkan maklumat mengenai kepenggunaan dan hak pengguna.

Doakanlah penulis dan pasukan berjaya dalam Kuiz Pengguna itu. Jazakallahu khairan atas sokongan anda semua.


0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?