Sunday, June 29, 2008

Salah Faham Terhadap Konsep Negara Islam dan Sistem Pemerintahan Islam

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, negara Islam ialah negara yang mengarahkan segala urusan pemerintahan dan pentadbirannya tunduk kepada hukum Islam yang bersumberkan Al-Quran dan Hadis serta ijtihad yang benar.
Secara keseluruhannya, penulis tidak begitu bersetuju dengan sesetengah pendapat yang menyatakan Malaysia merupakan negara Islam, kerana dari segi syarat negara Islam (berdasarkan definisi yang diberikan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan), kerana perlembagaan di Malaysia masih belum tunduk kepada syariah Islam. Penulis bukanlah menyokong PAS, dan penulis juga tidak menyokong mana-mana parti politik.

Persoalannya, mengapakah perlembagaan di Malaysia tidak tunduk kepada syariah Islam? Punca utama kepada masalah ini ialah salah faham orang bukan Muslim terhadap konsep negara Islam dan sistem pemerintahan Islam. Apabila kita berbicara tentang syariah Islam kepada yang bukan Muslim, pastinya terbayang dalam fikiran mereka hukuman potong tangan jika mencuri, hukuman sebatan jika berzina dan segala yang menakutkan bagi mereka.

Astaghfirullah! Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Bukankah sudah terbukti bahawa syariah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Nabi Muhammad SAW merupakan rahmat kepada seluruh alam, sebagaimana firman Allah: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya', 21 : Ayat 107)

Semuanya berpunca daripada diri kita sendiri!! Dakwah kita kepada yang bukan Muslim yang bermasalah. Apabila berkempen kepada mereka akan negara Islam, kita kata kita akan tegakkan hukum Hudud. Mana tak yang bukan Muslim takut. Ubahlah cara dakwah kita. Syariah Islam bukan sekadar hukum Hudud, malah lebih dari itu, meliputi semua aspek kehidupan kita.

Sistem pemerintahan negara Islam mempunyai lima prinsip:
  1. Al-'Adalah (Keadilan): Merupakan matlamat penting dalam sistem pemerintahan Islam, di mana semua orang mempunyai hak keadilan berdasarkan kepada peraturan dan undang-undang Islam.
  2. 'Adam al-Huruj (Tidak Menyusahkan): Sudah terbukti, perundangan Islam tidak menyusahkan dan membebankan manusia. Prinsip ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada mudarat dan tidak boleh melakukan kemudaratan." (Hadis hasan riwayat Imam Malik, Ibn Majah, ad-Daruqutni). Semua orang diperintah agar melakukan sesuatu suruhan atau meninggalkan sesuatu larangan mengikut keupayaannya. Firman Allah SWT: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahkannya." (Surah al-Baqarah, 2 : Ayat 286)
  3. Qillah at-Takalif (Sedikit Tanggungjawab): Syariah yang dipertanggungjawabkan kepada manusia tidaklah terlalu banyak sehingga membebankan kehidupan manusia, tetapi hanya untuk memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh suasana kehidupan manusia seharian. Ia boleh didapati dalam bentuk perintah, larangan atau pilihan. Bebannya adalah sedikit, bersifat biasa dan mempu ditanggung.
  4. At-Tadarruj fi At-Tasyri' (Beransur-ansur): Penurunan Al-Quran kepada Rasulullah SAW secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun menunjukkan bahawa prinsip perundangan Islam mempunyai ciri beransur-ansur. Penurunan dan penguatkuasaan undang-undang Islam secara beransur-ansur akan memberi peluang kepada manusia untuk memahami, mengamalkan serta menghayatinya.
  5. Asy-Syumul (Menyeluruh): Undang-undang Islam adalah lengkap dan mencakupi seluruh kehidupan manusia. Ia merangkumi aspek-aspek akidah, ibadat, munakahat (hal ehwal perkahwinan), mualamat (hal ehwal jual beli) dan jenayah. Ia juga sesuai pada setiap masa, tempat dan keadaan tanpa mengira siapa.
Akhirul kalam, penulis menyeru kepada semua pembaca yang beragama Islam agar kita lakukan anjakan paradigma ke atas cara dakwah kita kepada yang bukan Muslim, sekiranya anda ingin melihat perintah Allah untuk menegakkan negara Islam di bumi Malaysia menjadi kenyataan.


0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?