Sudah seminggu umat Islam di seluruh muka bumi ini menjalankan kewajipannya menunaikan puasa di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, dugaan lapar dan dahaga dapat saya tempuhi dengan baik di tempat baharu ini - lebih baik berbanding tahun lalu. Sekali lagi alhamdulillah.Tidak Habis-habis dengan Ujian
Begitulah lumrah kehidupan pelajar di SMK St. Joseph, Kuching. Kadangkala dihimpit dengan tekanan peperiksaan. Itu pun lebih baik berbanding tekanan ujian, di mana tidak terasa tekanan tersebut sehinggalah pada hari ujian. Keadaan ini pula diburukkan dengan polisi baharu Kementerian Pelajaran (dengan usaha sama Lembaga Peperiksaan Malaysia), yang mana pelajar diuji selesai mempelajari setiap bab. Hai, bertambah peninglah warga muda Josephian.
Hari ini, Tingkatan 4A menduduki tiga ujian: Ujian Diagnostik Kimia Modul 2, Ujian Diagnostik Fizik Modul 2 dan Ujian Kedua 2008 Pendidikan Moral. Dan, sudah menjadi kebetulan pada hari ini, dua masa pertama merupakan masa bagi subjek Kimia, dua masa kedua sebelum rehat ialah masa Fizik dan dua masa ketiga ialah masa Pendidikan Moral.
Persediaan saya? Usahlah diajukan soalan 'cepumas' itu kepada orang yang tidak kena pada tempatnya. Saya hanya membaca sekilas lalu buku nota Kimia dan buku teks Fizik, kerana itu hanya ujian diagnostik (sila lihat di sini dan di sini).
Ketiadaan Ustazah
Sebaik sahaja loceng berbunyi yang menandakan berakhirnya waktu rehat, saya telah bersedia di hadapan pintu Surau al-jauhari yang sentiasa berkunci apabila waktu rehat. Setelah lama menunggu, saya menjadi hairan, berfikir, 'Kat mana ustazah ni? Lama sangat ni.'
Saya pun mengambil keputusan untuk pergi ke kelas 4B. Apabila berada di tangga blok Josephians, saya bertembung dengan Amir Hakim dan Mohd. Azri, yang baharu sahaj keluar dari kelas menuju ke Surau. Mereka kehairanan apabila melihat saya kembali ke blok Josephians, mengajukan soalan "Apa hal, Man?" dan "Bukan kita pergi ke Surau kah?"
Jadi kami bertiga pun menuju ke Surau. Sekali lagi, kami menunggu ketibaan Ustazah Mona dengan begitu lama. Melihatkan ketidakmunculan Ustazah, saya pun bercadang pergi ke bilik guru untuk mencari beliau.
Di situ, tempat duduknya kosong. Tiada satu beg pun. Saya bertanya kepada Pn Hjh Rosni, guru Biologi yang duduk sebaris dengan ustazah. Menurutnya, ustazah sebelum itu ada. Tetapi, Ustaz Manaf segera memberitahu saya bahawa Ustazah Mona menghadiri mesyuarat. Jadi, kami (pelajar Islam 4A dan 4B) kembali ke kelas 4B dan membuat kerja masing-masing.
Sementara menunggu ketibaan guru sit-in, pelajar-pelajar 4B menghabiskan masa bermain dengan menggunakan bola ping pong yang saya sendiri pun tak tahu dari mana mereka peroleh. Macam-macam permainan mereka main menggunakan bola tersebut - mula-mula besbol, kemudian ping pong. Mereka hanya berhenti bermain apabila guru sit-in tiba.
Masa-masa tersebut kami bazirkan dengan berbual kosong. Antara topik yang kami bualkan ialah isu mercun di hari raya.
Saya berkata, "Orang Arab pasti terkejut apabila tiba di Malaysia. yalah, melihat kita bermain mercun."
Qamarul menyampuk, cuba berlawak,"Dia orang bukannya pakai mercun, pakai machine gun."
Lawaknya menjadi.
Kemudian, saya berkata lagi kepada Amir dan Azri, "Ada waktu aku terfikir, apa kata, kita kumpulkan budak-budak yang bermain mercun, hantar mereka ke Palestin, biar mereka lawan Israel di sana?"
Azri dan Amir tergelak.
"Letakkan meriam buluh kat depan rumah Presiden Israel, bubuh banyak-banyak karbait, lepas tu cucuh api. Confirm meletup besar, sampai Presiden tu mati terkejut."
Sekali lagi tergelak.
Nota: Bukan untuk menghina, untuk memikirkan isu semasa yang berlaku di Malaysia, bukannya di luar Malaysia. :)
Perasaan yang Semakin Mengganas
Mungkin, ada benarnya apa yang Ustaz Aqil Hayy katakan:
"Lagi besar kita mengaji (mencari ilmu), lagi kuat dugaan mendatang. Lagi banyak kita mencari ilmu, lagi kuat godaan mendatang." - Ustaz Aqil Hayy, video Remaja Jom Ke SurauHari ini, makin kerap saya terserampak dengan 'gadis itu'. Setiap kali pertemuan yang tidak disengajakan dan ringkas itu berlaku, saya mula tidak tentu arah. Tetapi, apabila saya tidak melihat wajahnya, walaupun sebentar, saya menjadi datang rasa ingin melihat wajahnya.
Adakalanya, Roland cuba mengusik saya dengan usikan yang sama. Tetapi, kadangkala, ada usikannya membuatkan saya terkenang akan 'gadis itu'.
Akhirnya, pada akhir kelas Matematik Tambahan, saya melafazkan perkataan "Daily" di hadapan Kelvin Ting, membuatkan Kelvin Ting berkata, "You miss her kah?"
(Bagi sesiapa yang dah tahu atau rasa dah tahu sekarang siapakah gadis yang saya maksudkan, saya memohon atas nama Tuhan anda sekalian, jangan dihebohkan perkara ini).
Mungkin anda akan tertanya-tanya, mengapa saya tidak sahaja luahkan perasaan saya kepada 'gadis itu'.
Jawapan saya ringkas sahaja: Saya lebih dahulu makan garam daripada anda.
Mungkin baik sekiranya saya menyampaikan sebuah pantun yang akan membuatkan anda faham.
Bunga padi bunga kiambang,Bukan bermakna 'gadis itu' sudah ada yang punya. Itu saya tak tahu.
Buat hiasan di kebun bunga;
Buah hati kekasih orang,
Hamba menumpang gembira sahaja.






0 comments:
Post a Comment
Apa Kata Anda...?