Thursday, May 15, 2008

Kehidupan Baru....

"Dalam hidup ini, segala-galanya berubah dan tidak ada apa pun yang tidak berubah. Semalam bukan lagi hari sebelumnya, dan hari ini bukan lagi semalam. Esok bukan lagi hari ini dan lusa bukan lagi esok."
(Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid)
Baiklah, hari ini, saya bercadang untuk menceritakan kehidupan baharu saya setelah berada di Kuching selama sebulan.

TEMPAT TINGGAL
Dari segi tempat tinggal, saya dan keluarga tinggal di rumah pangsa di tingkat yang tinggi. Walaupun rumah saya terpaksa berhadapan dengan angin yang kuat apabila hujan atau hendak hujan, tetapi dari segi pemandangan, ianya agak menyenangkan, kerana dapat memerhatikan gunung-ganang dan bukit-bukau (terutamanya Gunung Santubong). Di dalam rumah pula keluasannya agak kecil sedikit berbanding dengan kediaman asal saya.

SEKOLAH DAN PENDIDIKAN
Dari segi pendidikan, saya bersekolah di SMB St. Joseph. Di situ, saya mendapati terdapat suatu kelainan daripada sekolah asal saya. Pelajar-pelajar kelas elit (seperti kelas saya, iaitu 4A), kebanyakannya berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Hanya sedikit sahaja yang berkomunikasi menggunakan bahasa Malaysia, bahasa Melayu Sarawak dan bahasa Cina. Saya rasa kekok sedikit pada mulanya, tetapi lama-kelamaan ia sudah menjadi sebati dalam diri saya.

Dari segi persaingan dalam akademik, kalau dahulunya pesaing saya di SMK St. Anthony, Sarikei ialah Ash Siddiq (hampir kesemua subjek kecuali Add Math dan Pendidikan Islam), Jacquline (juga hampir kesemua subjek), Azelin (Pendidikan Islam) dan Ting Hua Ying (Add Math), sekarang pesaing terdekat saya ialah Roland Teo (hampir kesemua subjek kecuali PI) dan Amir Hakim (juga hampir kesemua subjek). Walaupun begitu, saya tidak seharusnya lalai walaupun pesaing mungkin berkurang setelah saya berpindah.

Baru sahaja berada di SJS, saya dapat menjalinkan persahabatan dengan beberapa orang pelajar, mula-mulanya Mohd. Qamarul (terkenal dengan gelaran Qamel), Kelvin Jong (Monitor Kelas 4A), Roland Teo (pelajar paling pintar di dalam 4A), Kelvin Ting (orang yang boleh dikatakan aktif dalam aktiviti keagamaan agama Kristian), Adrian Ho (classmate), Mohd. Nadzmi (pendiam tetapi pelik sedikit), Mohd. Arif, di samping dapat bertemu dengan sahabat lama, iaitu Alif Azni. (banyak sangat nak sebut, tapi cukuplah sekadar ini).

PENGAMALAN AGAMA ISLAM
Di Kuching, saya dapat mengamalkan agama Islam dengan lebih baik berbanding di Sarikei. Hal ini adalah kerana terdapat sebuah surau berdekatan dengan tempat tinggal saya. Jadi, solat lima waktu dapat didirikan dengan sempurna (walaupun kadangkala tertinggal solat Subuh). Selalu juga saya diminta mengimamkan solat di surau tersebut apabila di dalam surau tersebut hanya terdapat saya dan dua orang pak cik yang sememangnya taat menunaikan perintah Allah menjalankan fardu kifayah (dengan menunaikan solat berjemaah).

Itu sahaja aspek-aspek yang dapat saya ceritakan. Insya-Allah, penulis akan cuba menuliskan lebih banyak entri mengenai kehidupan saya di Kuching ini. Doakanlah saya agar sentiasa berjaya, di dunia dan di akhirat. Semoga Allah mengasihanimu.

2 comments:

Roland said...

Untuk pengetahuan kamu, saya sebenarnya bukan pelajar terpintar, dan pelajar terpintar sebenarnya ialah Amir Hakim. Dia/Beliau/Tan Sri Amir Hakim telah mengalahkan saya dalam keputusan peperiksaan untuk tiga kali berturut-turut sejak Tingkatan Satu, dan... aargh! Why am I writing in Malay?!!! =D

xxx said...

But for me, both of you are the best student and it will be harder for me...hehehe (don't be afraid to speak in Malay)... (it is out national language)..

Post a Comment

Apa Kata Anda...?