Tuesday, May 20, 2008

14 Jamad al-Awal - Dua Aliran Pemikiran yang Berbeza...

Imam Syafi'i muncul sebagai pengasas mazhab yang merupakan paduan dua mazhab yang berlainan, iaitu Mazhab Hanafi (Mazhab Ahli Rasional) dan Mazhab Maliki (Mazhab Ahli Hadis). Kemudian, muncul Imam Ahmad bin Hanbal untuk memurnikan kembali Islam, mengikut jejak langkah gurunya. Bolehkah perkara sedemikian berlaku lagi dalam bentuk yang lain?
Hari ini, tiada ada apa-apa yang berlaku di sekolah. Kesemuanya berjalan seperti biasa. Cuma hari ini aku menduduki ujian Tasawwur Islam. Selepas ujian tersebut, aku mengajukan soalan kepada Ustaz, "Ustaz, bolehkah saya kumpulkan hadis yang saya baca dari buku Pendidikan Islam, Syariah Islamiah atau Al-Quran & As-Sunnah ke dalam satu buku?" Jawab Ustaz, "Kalau untuk kamu jadikannya sebagai hujah, lebih baik jangan." "Kalau untuk diri sendiri, Ustaz?" tanyaku lagi. "Kalau untuk diri sendiri tidak apa." Jawapan tersebut memberi sedikit kepuasan pada diriku.

Kemudian timbul masalah di dalam kepala otak aku, bagaimana aku boleh mengklasifikasikan kesemua hadis itu kelak? Apabila aku terpandang sahaja perkataan musnad di dalam buku teks Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah, timbul satu idea. Mungkin ada baiknya aku susun kesemua hadis itu kelak mengikut nama-nama Sahabat Nabi SAW yang meriwayatkan hadis tersebut.

Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal: Sumber Inspirasiku

Kemudian, aku buka pula laman web penulis Siri Detektif Indigo (yang merupakan satu-satunya fiksyen detektif bercorak Islam yang pertama kali muncul di dunia, pada pandangan penulis). Aku kembali membaca beberapa entri di situ. Ternyata, Abang Faisal bukanlah Syiah. Beliau hanya mengkaji Syiah. Namun, ada segelintir yang menyatakan beliau bermazhab Syiah (termasuk Dr. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis) hanya disebabkan tersalah interpretasi. Apa yang aku perhatikan, pemikiran kedua-dua tokoh ini (SS Dr. Asri dan Abang Faisal Tehrani) berbeza mengenai isu Sunnah-Syiah, walaupun kedua-duanya Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah. Dan komen-komen dari peminat Abang Faisal yang diberikan kepada penulis muda itu, ada yang menjurus kepada melabelkan Dr. Asri sebagai Wahhabi. Hahaha, mereka kata umat Islam mundur sebab tiada kesepaduan dan mengajak kepada perpaduan, tetapi mereka sendiri yang memecah-belahkan umat Islam.
Paku dulang paku serpih,
Mengata orang mereka yang lebih.
Kuman di seberang sana, mereka nampak,
Gajah di depan mata, mereka tak nampak.
(ada ke patut?)
Yang terakhir, penulis ingin berbicara sedikit mengenai keadaan politik di negara. Sebenarnya, penulis tidak berapa suka dengan politik (penulis sendiri pun tak nak terlibat dengan benda-benda sebegini), terutamanya yang bukan berlandaskan ajaran Islam, terutamanya di Malaysia. Inilah akibatnya jika mengabaikan ajaran Islam. Harap sahaja negara Islam, tetapi lihat apa sudah jadi? Di mana pujian Syeikh al-Azhar semasa Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar Februari lalu? Tepuk dada, tanyalah diri anda, itulah jawapannya.

0 comments:

Post a Comment

Apa Kata Anda...?