Sunday, June 22, 2008

Jelmaan Hantu Sebagai Cara Iblis Menggoda Manusia

Iblis menjawab: "Demi Kuat KuasaMU (wahai Tuhanku) aku akan menyesatkan mereka semua." - Surah Sad, 38:82
Begitulah yang Iblis bersumpah di hadapan ALLAH selepas penciptaan Nabi Adam. Dalam ayat di atas, Iblis telah berjanji akan menyesatkan manusia sehinggalah Hari Kiamat. Hal itu berlaku apabila ALLAH telah menciptakan Nabi Adam dan memerintahkan makhluk-makhluk ciptaanNYA agar sujud (hormat) kepada Nabi Adam. Kesemuanya mematuhi perintah ALLAH kecuali Iblis.

Alasan Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam ialah kerana Iblis menganggap dirinya lebih mulia berbanding Nabi Adam, memandangkan ALLAH menciptakan Iblis daripada api dan Nabi Adam daripada tanah. Disebabkan keengganan Iblis itu, ALLAH telah memerintahkan Iblis keluar dari Syurga. Pada ketika itulah, Iblis bersumpah akan menyesatkan umat manusia.

Terdapat berbagai-bagai cara Iblis menyesatkan manusia. Bukan sekadar dengan menggoda, tetapi juga termasuk dengan menggunakan kelemahan manusia, termasuklah menjelmakan diri mereka sebagai 'hantu'. Dan melalui cara inilah kebanyakan manusia sudah termasuk ke dalam perangkapnya.

Seperti anda tahu, ALLAH telah mengurniakan sepasang mata kepada kita, di mana rekaannya cukup sempurna. Namun begitu, ALLAH juga telah meletakkan kelemahan pada rekaan tersebut. Hikmahnya agar manusia mengetahui bahawa mereka hanyalah makhluk yang lemah di sisi ALLAH dan hanya DIA sahaja yang Maha Berkuasa.

Kelemahan yang ALLAH letakkan pada mata manusia ialah manusia tidak dapat melihat dengan jelas di dalam kegelapan, tidak seperti di dalam tempat yang terang. Iblis menggunakan kelemahan ini untuk menyesatkan manusia. Bagaimana? Dengan menjelmakan diri mereka sebagai apa yang masyarakat gelarkan sebagai hantu.

Apabila manusia yang lemah imannya terkena perangkap Iblis dengan melihat hantu, maka golongan ini automatik akan menjadi takut dan akan berbuat apa sahaja asalkan hantu tersebut tidak mengganggunya, sehingga manusia takut akan hantu. Di sinilah Iblis berjaya menyelesaikan misinya menyesatkan manusia.

Sekali lagi bagaimana? Apabila manusia takut akan hantu, ini bermakna dia dianggap bertuhankan hantu, bukan lagi bertuhankan ALLAH! Bukankah ini jelas menunjukkan unsur syirik (menyekutukan ALLAH dengan benda lain)? Apabila manusia sudah melakukan syirik, maka saat itulah Iblis bergembira atas kemenangannya menyesatkan manusia.

Bagaimana kita boleh menghadapi cubaan ini? Di sini penulis menyarankan beberapa langkah yang boleh dilakukan dalam menghadapi godaan Iblis ini.

Langkah yang pertama, kita hendaklah bertaubat. Walaupun kita merasakan kita tidak pernah melakukan dosa selama ini, lakukanlah, kerana boleh jadi kita pernah berbuat dosa tanpa kita sedari. Apabila diri seseorang manusia dipenuhi dengan dosa, maka lebih muda Iblis menyesatkan mereka berbanding mereka yang kuat imannya.

Langkah yang kedua, amalkanlah amalan membaca al-Quran setiap masa tidak kira di mana sahaja. ALLAH telah menurunkan al-Quran sebagai pelindung bagi manusia, sehingga Iblis dan Jin sendiri takut akan kekuatan al-Quran yang ALLAH jadikan, sebagaimana firman Allah:
Sekiranya KAMI turunkan al-Quran ini ke atas gunung, nescaya engkau dapati gunung itu tunduk serta pecah belah kerana takutkan ALLAH." - Surah al-Hasyr, 59:21
Antara ayat yang boleh kita amalkan (langkah paling asas) ialah Surah al-Fatihah, Ayat al-Kursi (Surah al-Baqarah, 2:255), Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, dan Surah an-Nas. Sekiranya anda berada dalam keadaan yang mana anda berasa cemas sehingga tidak dapat berkata-kata, cubalah membaca mana-mana ayat al-Quran yang anda tahu. Dan yang paling penting, sebelum anda memulakan apa-apa pekerjaan (tidak kira sebelum tidur, sebelum belajar atau sebagainya), bacalah ta'awuz (memohon perlindungan daripada ALLAH) dan basmalah (menyebut nama ALLAH).

Akhirul kalam, marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita, bertaubat dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya), diikuti dengan amalan soleh. Mudah-mudahan Iblis sukar untuk menggoda kita agar kita tergelincir dari jalan yang lurus. Amiin.



Saturday, June 21, 2008

17 Jamadil Akhir | Buat Pertama Kali Sebagai Imam...

Tinggal 2 bulan 9 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak yang dijangkakan tarikh 1 Ramadhan jatuh pada 1 September.
Ketika di Surau Darul Ibadah tadi, pada mulanya penulis jangkakan surau itu juga sunyi seperti hari-hari sebelumnya, tiada jemaah yang lain. Tetapi, syukurlah doa penulis sebelum mengalunkan azan maghrib dimakbulkan. Ketika maghrib, dua jemaah yang datang, dan pada Isyak tadi lebih ramai jemaah.

Ketika Isyak tadi, orang lain pula yang mengalunkan azan kerana dia meminta penulis mengimami solat Isyak tersebut (sebabnya dia ingin mendengar bacaan penulis sebagai imam). Penulis sedaya upaya menolak, namun kemudian penulis teringat akan hukum menolak dari menjadi imam yang penulis baca dalam buku Bimbingan Penghayatan dan Kesempurnaan Solat (terbitan Nadi Minda Resources), di mana disebutkan:
Jangan menjadi imam kepada kelompok atau orang atau sesuatu jamaah, sekiranya mereka tidak menyukainya dan jangan hendak menjadi imam sekiranya diketahui bahawa di belakang di kalangan makmum itu terdapat orang yang lebih layak mengimami jamaah, kecuali jika orang itu menolak daripada mengimami mereka. Pada ketika itu, bagi orang yang menolak dari menjadi imam, makruh hukumnya.
Dan ketika hendak memulakan solat selepas iqamah, penulis terlihat seorang anggota polis yang baru datang yang penulis tahu dia lebih baik daripada penulis. Jadi penulis segera memintanya menjadi imam, namun negatif responnya. Dia menolak.

Ketika mengimami solat Isyak, penulis merasakan gementar. Maklumlah, selama ini, penulis hanya menjadi imam kepada rakan-rakan penulis sendiri ketika solat. Inilah kali pertama penulis menjadi imam bagi kelompok di mana terdapat golongan dewasa dan kanak-kanak. Penulis memilih untuk membaca Surah al-An'am ayat 161 hingga 163 pada rakaat pertama dan ayat 164 hingga 165 bagi rakaat kedua setelah membaca Surah al-Fatihah bagi setiap rakaat.

Penulis masih ingat lagi, pada pagi tadi, perbincangan antara penulis dengan Abang Wan Muhammad Fahrurrazi dan senior tingkatan lima tadi. abang Wan ada menyebutkan tentang masalah umat Islam dan membandingkan dengan yang bukan Muslim. Menurutnya, orang Melayu jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain. Hujahnya:
  1. Gangster Melayu hanya menaiki motosikal bersenjatakan parang, sedangkan gangster Cina semuanya memiliki kehidupan mewah, berkenderaan mewah dan bersenjatakan pistol. Apabila bergaduh, orang Melayu senang kena tangkap, tapi orang Cina tidak.
  2. Kebanyakan orang Melayu payah sekali hendak pergi menunaikan solat ke masjid/surau, sekalipun untuk solat Jumaat. Orang Kristian pula, lebih rajin ke gereja untuk bersembahyang dan beribadat. Setiap Ahad, pasti kawasan letak kereta di gereja akan penuh berbanding dengan di masjid.
  3. Orang Melayu tiada kesungguhan seperti orang Cina. Apabila mendapatkan sesuatu, orang Cina akan berusaha mendapatkan apa yang diinginkannya (sekalipun terpaksa guna cara haram). Bukanlah menggalakkan berusaha cara haram, tetapi cubalah contohi sikap orang Cina yang bersungguh-sungguh. Kerana itulah, yang cemerlang dalam akademik di sekolah kebanyakannya orang Cina.
Penulis bersetuju dengan pendapatnya.

Apa nak jadi dengan umat Islam sekarang....


Umat Islam di Palestin dan Iraq hidup dalam kesengsaraan dan berpecah belah...



Umat Islam di Malaysia pula semakin mundur....





Politik di Malaysia kian gusar....






Perbalahan bercambah....








Ya Allah, turunkanlah pertolonganMU ke atas kami, sebagaimana yang telah KAUjanjikan kepada KekasihMU Nabi Muhammad...


16 Jamadil Akhir | Karya Terbaharu...


© 2008 Hak cipta terpelihara.


http://ahls1412.blogspot.com/