Sunday, December 30, 2007

Ibu Bapa Masa Kini: Serba salah Pula Terhadap Mereka...

Apabila ilmu pengetahuan menjadi sesuatu yang terlalu penting dalam sesebuah masyarakat, boleh jadi kewajipan-kewajipan yang lebih utama akan diabaikan... itulah kesan dunia pendidikan di Malaysia kini....
Amat mengejutkan lagi membimbangkan, itulah yang berlaku di dalam masyarakat Malaysia kini, terutamanya yang beragama Islam. Ibu bapa masa kini terlalu mementingkan dan mengutamakan pendidikan, sehingga aspek kerohanian diabaikan. Itulah yang berlaku ke atas keluarga saya, terus terang saya katakan. Hari ini, saya meminta izin daripada kedua-dua ibu bapa saya untuk menunaikan solat berjemaah bersama guru yang pernah mengajar saya mengaji dahulu. Namun begitu, mereka kata, "Habis, macam mana dengan pelajaran kamu? Nanti kamu tak ada masa nak belajar."

Berbagai-bagai hujah telah saya sediakan, namun mereka tidak menerima hujah saya. Mereka katakan, "Tak payahlah nak sibuk nak sembahyang berjemaah di masjid." Sebaik sahaja mereka menjawab sedemikian, saya terus pulang ke bilik saya dengan hampa. Hampa bukan kerana permintaan saya tidak dapat ditunaikan, tetapi hampa kerana melihat ibu bapa saya tidak mengetahui kewajipan mengerjakan solat secara berjemaah yang merupakan fardu kifayah.

Saya tak begitu kisah jika mereka tidak sembahyang (saya tidak berani nak tegur, takut dikatakan kurang ajar, derhaka). Mereka amat menghormati saya apabila saya bersembahyang. Namun, saya sedih, sudahlah mereka tidak menunaikan sembahyang, malah tidak mengizinkan saya ingin mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid (hanya ketika bulan Ramadan sahaja diizinkan, itupun bersama dengan keluarga kawan baik saya untuk sembhayang tarawih).

Saya bukanlah hendak mengaibkan mereka, semoga Allah mengasihi mereka sebagaimana mereka mengasihi saya selama ini. Namun, apa yang saya cuba sampaikan ialah kesan daripada sistem pendidikan di Malaysia terlalu mendalam, terutamanya sistem peperiksaan, sehingga ibu bapa mengabaikan aspek lain seperti kerohanian. Saya juga bukanlah hendak mempertikaikan sistem pendidikan di negara kita yang telah terbukti keberkesanannya. Apa yang saya cuba sampaikan ialah janganlah ibu bapa mengutamakan pada satu-satu aspek sahaja sehingga aspek-aspek lain terabai.

Contohnya seperti di dalam situasi saya di atas. Saya nak nasihatkan mereka, nanti mereka label saya sebagai anak derhaka, anak kurang ajar. Tapi, kalau tak mengikut sunnah nabi, lagi susah. Serba salah saya dibuatnya. walau apa pun, itulah hakikat yang berlaku masa kini.

Ibu bapa terlalu obes dengan kecemerlangan anak mereka dalam pelajaran, sedangkan anak mereka gagal mematuhi suruhan Allah yang wajib kita patuhi sebagai umat Islam. Bukankah lebih baik mereka inginkan anak mereka cemerlang, sama ada dalam aspek pelajaran dan juga agama?

Karya Kaligrafi Khat...





Ini merupakan di antara beberapa hasil kaligrafi yang telah cuba saya tiru dari sebuah buku koleksi karya kaligrafi khat oleh tokoh khattat yang terkenal. Insya-allah, saya akan cuba hasilkan banyak lagi.

Kenapa Orang Gemar Memilih Membunuh Diri Sebagai Alternatif?

Apabila manusia hilang pertimbangan, hilang pedoman, Iblis dan Syaitan mudah meracuni fikiran kita, sehingga cita-cita mereka untuk menjahanamkan manusia akan tercapai...

Saya ada melihat komen untuk entri Keputusan PMR... baru-baru ini dan ia datang daripada seorang rakan sekelas saya (tak perlulah cakap namanya). Dalam komen tersebut, dia menyatakan kesedihannya kerana tidak mendapat keputusan seperti yang disasarkan. Ketika saya membaca komen itu, terlintas di dalam benak fikiran saya, adakah dia akan mengambil langkah yang paling bodoh di dalam dunia ini (iaitu membunuh diri) untuk mengubat kesedihannya? Akal saya kuat memberitahu bahawa dia besar kemungkinan tidak akan membunuh diri.

Di situ, timbul satu persoalan dalam benak fikiran saya, mengapa orang masa kini memilih membunuh diri sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah atau mengubat kesedihan mereka, misalannya kecewa kerana gagal dalam peperiksaan seperti yang berlaku sebelum ini? Hal ini membawa saya kepada menggunakan keseluruhan fikiran saya selain mencari-cari petunjuk di dalam al-Quran al-Karim (saya tidak memiliki sebarang kitab koleksi hadith, moga-moga Allah memperkenan hajat saya untuk memiliki satu kitab koleksi hadith pada masa akan datang).

Setelah saya menggunakan 100% akal saya untuk mencari jawapannya, saya dapat membuat kesimpulan bahawa pengawalan emosi yang kurang baik boleh menyebabkan seseorang itu akan melakukan apa-apa sahaja untuk menyelesaikan masalahnya sekalipun ianya bertentangan dengan syarak. Apabila seseorang itu berada dal;am suatu keadaan yang memuncak yang amat sangat (contohnya sedih kerana kehilangan ahli keluarga dan marah kerana ahli keluarga dibunuh), dia akan mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu. di sinilah kebanyakan manusia akan kehilangan pertimbangan dan kewarasan akal serta terlalu mengikut kata hati.

Berdasarkan kepada kesimpulan di atas, seseorang yang kurang baik dalam mengawal emosi berkemungkinan akan memilih membunuh diri sebagai satu daripada alternatif-alternatif yang ada. Maka sesungguhnya, mereka telah sesat di tengah jalan. Tidakkah mereka mengetahui akan balasan terhadap mereka yang membunuh diri? Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullahu ta'ala:

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, sabdanya: "Barangsiapa yang menjatuhkan dirinya dari atas gunung untuk membunuh dirinya, maka dia akan mendiami Neraka Jahannam dalam keadaan kekal abadinya dalamnya. Dan sesiapa membunuh dirinya dengan meminum racun, maka racun itu tetap di tangannya yang akan diminumnya dalam Neraka Jahannam untuk selama-lamanya. Dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besinya itu akan tetap di tangannya untuk ditusukkan pada perutnya di dalam Neraka Jahannam untuk selama-lamanya.

Satu langkah penyelesaian bagi membendung masalah ini daripada menular ke dalam masyarakat sehingga menjadi budaya mereka ialah dengan meningkatkan keimanan mereka. Di dalam Islam, di dalam Rukun Iman, terdapat satu rukun yang menjadi kewajipan umat Islam untuk mempercayainya dan meyakininya, iaitu beriman kepada qada' dan qadar Allah, sama ada baik mahupun buruk. Satu kepercayaan yang teguh harus ditanamkan dalam diri bahawa Allah subhanahu wa ta'ala telah menentukan dan menetapkan ketentuan pada diri mereka masing-masing seperti rezeki, jodoh, ajal, dan sebagainya. Ramai yang menganggap bahawa mereka tidak perlu berusaha memandangkan Allah telah menentukan segala perkara. Anggapan ini salah dan menyalahi konsep qada' dan qadar manusia. Walaupun segala perkara telah ditentukan, ada sesetengahnya merupakan ketentuan Allah terhadap sesuatu perkara mengikut usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri yang dinamakan qada' mu'allaq. Kejayaan dan kegagalan mereka merupakan urusan Allah, apa yang perlu manusia lakukan ialah berusaha untuk mencapai kejayaan dan bertawakal kepada-Nya. Ingat, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah dan sebab di sebaliknya.

Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap yang telah dibawa oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Islam amat melarang keras umatnya menjuruskan diri mereka ke dalam kebinasaan. Firman Allah subhanahu wa ta'ala di dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

"Belanjakan (harta kamu) untuk jalan Allah dan janganlah kamu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Buatlah kebaikan, sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berbuat baik."

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, ad-Daruqutni, Imam Malik dan lain-lain:

"Tidak ada mudarat dan tidak boleh melakukan kemudaratan."

Disebabkan Islam menolak kemudaratan, maka Islam telah menetapkan banyak larangan, antara larangan memakan babi, meminum arak, berjudi dan sebagainya, termasuklah juga membunuh diri. Membunuh diri bukan sahaja membawa kemudaratan kepada diri, malah menjadi tanda bahawa kita tidak menghargai nyawa yang telah Allah berikan kepada kita.

Saya amat berharap tiada sesiapa yang membunuh diri sebagai jalan penyelesaian, termasuklah juga ahli keluarga dan sahabat handai saya, insya-Allah.