Wednesday, January 09, 2008

Lirik Lagu Sempena Maal Hijrah

Satu Muharram detik permulaan
Perkiraan tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan umat Islam
Dari kota Makkah ke kota Madinah.

Atas keyakinan dan iman yang teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu
Rela berkorban harta dan nyawa
Demi menengakkan Islam tercinta.

Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan.

Oleh itu mari semua
Kita sambut Maal Hijrah
Tingkatkan semangat tegakkan syiar Islam
Untuk sepanjang zaman.

Penyair di Dalam al-Quran: Dikeji atau Dimuliakan?

Penyair, penyajak, pengarang fiksyen, penulis skrip drama, novelis... semuanya tergolong dalam golongan penyair seperti yang disebutkan di dalam al-Quran... adakah mereka golongan yang dihinakan atau golongan yang diberi darjat...?

Semasa saya menyelak mukasurat-mukasurat di dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran, saya tertarik dengan ayat-ayat dari surah ash-Shu'araa' bermula dari ayat 221 hingga akhir:
Maksudnya: Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta. Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.

Ayat ini menerangkan bahawa semua penyair hanya berangan-angan kosong dan hina, kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, mengingati Allah serta menggunakan kebolehan mereka untuk menyebarkan ajaran Islam. ayat ini secara tidak langsung menjadi panduan kepada saya dalam mengarang penulisan, kerana penyair di dalam ayat ini boleh diqiaskan dengan mereka yang berkecimpung dalam bidang sastera (termasuk pengarang novel misteri).

Saturday, January 05, 2008

Misteri Kematian Perogol di Tempat Kejadian

oleh ABDUL HAKIM LUKHMAN AS-SARIKI


"Sekarang ni bandar kita dah gempar dengan kes rogol yang ketiga yang berlaku dua minggu lepas," kata Faiz kepada rakannya sambil membaca senaskhah akhbar ketika di dalam perjalanan pulang dari sekolah. "Luqman, takkan kau tak ambil apa-apa tindakan dalam hal macam ni? Bukankah kau Penyiasat Kelas Pertama dari Biro Penyiasatan Malaysia?"

"Aku tak dapat nak buat apa-apa," jawab Luqman dengan nada kekesalan, "sebab aku tak terlibat dengan dalam hal ini atau terima apa-apa tugasan yang ada sangkut paut dengan kes ni. Kalau aku sesuka hati campur tangan dalam kes ini, silap haribulan aku akan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak Biro. Mungkin akan digantung kerja untuk suatu tempoh... atau yang paling teruk, terus dipecat."

"Habis tu, takkan kita nak biarkan perogol tu bermaharajalela di Sarikei ni?" soal Faiz. "Takkan nak biarkan penduduk bandar ni tinggal dalam ketakutan?"

"Jangan risau, Faiz. Pihak polis akan berusaha menangkap perogol tu secepat mungkin," jawab Luqman. "Mereka tu bukannya terlalu bodoh untuk menangkap sekumpulan perogol yang biasa."

Setelah berjalan dari sekolah selama beberapa minit, akhirnya Luqman dan Faiz tiba di rumah Luqman yang terletak 1.5 kilometer dari Sekolah Menengah Kebangsaan St. Anthony dan berada di tingkat pertama sebuah bangunan yang menempatkan beberapa buah kedai dan penempatan bagi pemilik kedai. Rumah Luqman merupakan satu-satunya pejabat penyiasatan yang ada di bandar Sarikei, iaitu Pejabat Penyiasatan Abdul Hakim.

Setelah menunaikan solat Zohor, mereka berdua menikmati makan tengah hari mereka sebelum bertugas. Mereka sempat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru mereka sebelum itu. Mereka berdua memulakan tugas sebagai ahli dari Biro Penyiasatan Malaysia di pejabat penyiasatan itu tepat pukul 2.30 petang. Walau bagaimanapun, baru sepuluh minit mereka memulakan tugas mereka, seorang wanita berusia 50-an datang ke pejabat itu, meminta Luqman dan Faiz menyiasat suatu kes.

"Encik penyiasat, tolonglah saya encik penyiasat," rayu wanita itu kepada Luqman dan Faiz. "Tolonglah, anak saya telah difitnah, encik."

"Difitnah? Maksud puan?" tanya Faiz.

"Anak gadis saya disyaki terlibat dengan kes pembunuhan seorang lelaki di Jalan Meranti semalam, encik," jawab wanita itu. "dia ditemui terbaring bersama dengan lelaki itu."

"Boleh tak Puan Fatimah jelaskan hal ini dengan lebih terperinci? Kami nak tahu keseluruhan hal ini," minta Luqman.

"Boleh." Puan Fatimah. "Semalam, anak gadis saya tak balik-balik dari kerja. Biasanya dia akan tiba di rumah sekitar pukul enam petang. Pagi tadi, saya menerima panggilan dari pihak polis yang memberitahu bahawa dia disyaki membunuh rakan sekerjanya itu."

"Oh, jadi rakan sekerjanya yang terbunuh rupanya," kata Faiz. "Di mana anak puan bekerja?"

"Dia bekerja di Kilang Memproses Makanan Ringan Berasaskan Udang," jawab Puan Fatimah.

"Kilang Memproses Makanan Ringan Berasaskan Udang?"

"Kenapa, Luqman?" tanya Faiz kehairanan apabila mendengar Luqman mengomel nama kilang tersebut.

"Tak... tak ada apa-apa," nafi Luqman. "Kenapa pula Puan kata anak Puan difitnah? Mungkin dia ingin mempertahankan dirinya sahaja?"

"Tak mungkinlah, encik. anak gadis saya tu manalah ada kekuatan untuk membunuh rakan sekerjanya yang gagah," sangkal Puan Fatimah. "Lagipun, rakan sekerja itu merupakan anak saudara saya sendiri."

"Mungkin lelaki nak mengapa-apakan anak Puan," sampuk Faiz pula.

"Itu lagi mustahil, sebab mereka berdua amat mesra sejak kecil lagi," sangkal Puan Fatimah lagi. "Saya begitu pasti anak saudara saya tu dibunuh oleh orang lain dan bukannya anak saya."

Luqman kelihatan berfikir sebentar. "Kalau begitu, marilah kita berjumpa dengan pegawai polis yang bertanggungjawab menyiasat kes ini," kata Luqman akhirnya. Mereka bertiga segera menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei yang terletak berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Anthony. Mereka tiba di situ setelah berjalan selama enam minit dari Pejabat Penyiasatan Abdul Hakim. Ketika berada di situ, Luqman dan Faiz berbual-bual dengan seorang pegawai polis yang amat mereka kenali.

"Lama kita tak jumpa, Tuan Inspektor," kata Luqman kepada Inspektor Mohd. Ali as-Siddiq. "Kami datang sebab kami nak berjumpa dengan pegawai yang bertugas menyiasat satu kes pembunuhan yang berlaku di Jalan Meranti semalam."

"Sayalah yang bertanggungjawab menyiasat kes itu," balas Inspektor Ali. "Baguslah kalau awak datang, Luqman. Tadi, saya bercadang hendak ke pejabat kau tadi. Saya nak minta pendapat awak mengenai kes pembunuhan ini dan juga kes-kes rogol yang berlaku di bandar kita ni. Sila ikut saya."

Luqman dan Faiz mengikuti Inspektor Ali as-Siddiq ke pejabat beliau. Di situ, Inspektor ali as-Siddiq menjelaskan hal yang sebenarnya.

"Mangsa bernama Mohd. Hisham bin Hashim, 28 tahun, bekerja di Kilang Memproses Makanan Ringan Berasaskan Udang sebagai penyelia pekerja. Mangsa ditemui mati dibunuh terbaring di sebuah taman permainan di sebuah kawasan perumahan di sana bersama seorang gadis yang juga merupakan sepupunya," jelas Inspektor. "Punca kematiannya ialah akibat satu tumbukan setelah ditumbuk bertalu-talu sebelum kematiannya. Mangsa dianggarkan meninggal antara pukul dua hingga tiga setengah pagi hari ini."

Luqman dan Faiz meneliti gambar-gambar yang diambil di tempat kejadian bagi kes pembunuhan itu.

"Bagaimana pula dengan gadis yang ditemui terbaring di sisi mangsa?" tanya Luqman.

"Gadis itu bernama Siti Afiqah binti Jusoh, sepupu mangsa, juga bekerja di kilang yang sama sebagai pekerja biasa. Kami sekarang masih menahannya sebagai suspek bagi kes ini," jawab Inspektor. "Walau bagaimanapun, ada yang tak kena dengan kes ini."

"Saya tahu satu daripadanya," celah Luqman. "Tuan pasti yang mangsa bukan dibunuh oleh suspek, bukan?"

"Ya, memang itu satu daripadanya," balas Inspektor. "Juga, di dalam darah suspek, kami mengesan dadah di dalamnya."

"Dadah?" kata Faiz, terperanjat.

"Apakah jenis dadah itu, Tuan?" tanya Luqman.

"Dadah itu ialah Rohypnol, Luqman," jawab Inspektor Ali as-Siddiq.

"Rohypnol?" kata Faiz, kehairanan.

"Rohypnol, tergolong dalam dadah kumpulan benzodiazepines. salah satu dadah jenis flunitrazepam di bawah kumpulan benzodiazepines," jelas Luqman kepada Faiz. "Dadah Rohypnol sering digunakan oleh penjenayah seksual untuk membuatkan orang yang dirogol tidak mengetahui apa yang berlaku kepada dirinya semasa dia di bawah pengaruh dadah tersebut. Dadah ini merupakan date rape drug yang kerap digunakan dalam kes-kes rogol."

"Yang anehnya, dadah ini juga dikesan di dalam darah mangsa-mangsa kes rogol yang berlaku belakangan ini, Luqman," kata Inspektor. "Termasuk juga kuantiti yang ada, kuantiti dadah yang dikesan di dalam badan suspek dan ketiga-tiga mangsa itu agak banyak juga."

"Adakah Tuan ingin katakan bahawa suspek juga merupakan orang yang hampir-hampir dirogol?" tanya Luqman.

"Ya," jawab Inspektor. "Pada pendapat saya, mangsa ternampak ada orang cuba merogol suspek. Dia cuba menghalang si perogol itu, walau bagaimanapun dia terbunuh. Panik dengan apa yang berlaku, si perogol itu lari meninggalkan tempat kejadian. Kami telah menyoal siasat orang yang mengenali mangsa, dan saya berpendapat bahawa dua orang rakan serumahnya dan musuhnya merupakan suspek utama kes ini," kata Inspektor. "Namun begitu, mereka berempat mempunyai alibi tidak berada di tempat kejadian."

"Eh? Apa alibi mereka?" tanya Luqman.

"Yang pertama, rakan serumah mangsa, Hadi bin Abu Bakar dan Izwan bin Mohd. Firdaus, mereka berada di sebuah pub semasa waktu kematian mangsa," jawab Inspektor. "Manakala Lee Am Ong dan Mike Lau, musuh mangsa, berada di rumah rakan mereka, sedang bermain mahjong."

"Jikalau begitu, suspek bagi kes ini ialah Encik Lee Am Ong dan Encik Mike Lau," balas Faiz, "kerana mereka mempunyai alibi yang kurang kukuh."

"Tak, Faiz, mereka berdua juga barangkali mempunyai alibi yang kukuh selain Encik Hadi dan Encik Izwan," sangkal Luqman. "Permainan mahjong dimainkan oleh empat orang pemain. Jadi, pasti ada orang lain yang boleh mengesahkan alibi mereka. Sudahkah Inspektor menyiasat alibi mereka?"

"Ya, kami telah menjalankan penyiasatan, dan kami mendapati, walaupun mereka memang berada di tempat mereka, tetapi tiada bukti yang menunjukkan bahawa mereka berada di situ semasa kes pembunuhan berlaku," jawab Inspektor.

"Ha? Maksud Inspektor?" tanya Faiz.

"Pihak pub tidak dapat mengingati waktu Hadi dan Izwan meninggalkan pub tersebut," jelas Inspektor, "begitu juga dengan Lee Am Ong dan Mike Lau. Rakan sepermainan mereka tidak mengetahui waktu mereka balik."

"Inspektor, boleh saya tahu nama tempat mereka berada?" tanya Luqman.

"Em... kalau pub, pub itu bernama Happy Pub... manakala bagi tempat bermain mahjong... di No. 6, Jalan Allamanda," jawab Inspektor Ali as-Siddiq. Luqman meneliti semula gambar-gambar bagi kes tersebut, termasuk juga gambar-gambar suspek yang terlibat setelah mendengar jawapan Inspektor.

"Inspektor, adakah hubungan antara mereka berempat dengan mangsa?" tanya Luqman.

"Ya, Hadi dan Izwan merupakan ahli Kelab Peninju bersama dengan mangsa semasa mereka menuntut di sebuah universiti, manakala Lee Am Ong dan Mike merupakan rakan baik semasa mereka di bangku sekolah," jawab Inspektor. Setelah mendengar jawapan Inspektor, tiba-tiba Luqman menguntumkan senyuman yang penuh keyakinan.

"La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim," ucap Luqman. "Begitu rupanya..."

"Apa yang awak cakap, Luqman?" tanya Faiz kehairanan setelah tercengang melihat tingkah laku sahabatnya itu.

"Saya dah tahu..." jawabnya. "Saya dah tahu... kebenaran di sebalik kes ini."

"Yakah?"

"Kalau begitu, siapakah pembunuhnya, Luqman?" tanya Inspektor.

"Saya akan jelaskan kepada Tuan Inspektor setelah Tuan memanggil kesemua suspek tersebut," jawab Luqman. Inspektor segera memanggil kesemua suspek ke pejabatnya. Sementara itu, Luqman mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menelefon seseorang.

"Assalamualaikum, Doktor. Doktor lapang tak sekarang ni?... Lapang? Kalau begitu, boleh tak Doktor datang ke IPD di pejabat Inspektor Ali as-Siddiq sekarang juga?... Ya... kalau boleh secepat mungkin... terima kasih, Doktor... Assalamualaikum."

"Luqman, buat apa kau telefon Dr. Razak sekarang?" tanya Faiz, tidak mengerti sebab Luqman melakukan sedemikian.

"Nanti kau akan tahu," jawab Luqman, ringkas. "Dan aku nak kau buat-buat tak kenal dengan Dr. bila kesemua suspek tiba. Faham?"

"Baiklah," jawab Faiz tanpa banyak bicara.

Dr. Razak tiba di pejabat dua minit sebelum kesemua suspek tiba di tempat kejadian. Luqman berbincang dengannya mengenai rancangannya tanpa diketahui oleh Faiz dan Inspektor. Kemudian, kesemua suspek tiba di pejabat Inspektor.

"Tuan, kenapa Tuan panggil lagi kami ke sini? Bukankah kami tidak berkaitan dengan kes ini?" tanya Hadi bin Abu Bakar.

"Yalah, Tuan," sokong Izwan bin Mohd. Firdaus. "Kami ada urusan yang penting selepas ini. Jadi kami tidak boleh berada di sini terlalu lama."

"Pihak kami mendapati anda semua mempunyai alibi yang kurang kukuh. Pihak pub dan rakan Encik Lee dan Encik Mike tidak mengetahui waktu sebenar anda semua balik," jawab Inspektor. "Lagipun, ada pihak yang tampil memberi maklumat mengenai pembunuh bagi kes ini."

Hadi, Izwan, Lee Am Ong dan Mike Lau terperanjat.

"Yakah? Di mana dia, Tuan?" tanya Am Ong,

"Luqman, masuk!" panggil Inspektor. Sejurus kemudian, Luqman melangkah masuk ke dalam pejabat tersebut. Hadi, Izwan, Am Ong dan Mike tergamam seketika melihat penyiasat muda dari Biro Penyiasatan Malaysia itu masuk ke dalam pejabat.

"Baiklah, Luqman. Sekarang awak boleh mulakan persembahan deduksi awak," kata Inspektor.

"Maaf, Tuan, hari ini saya tak akan membuat persembahan deduksi, kerana saya telah membawa seorang saksi yang mendakwa dia melihat kejadian itu di tempat kejadian pagi ini."

Inspektor terperanjat. "Benarkah? Bawa dia masuk."

Kemudian, seorang lelaki melangkah masuk ke dalam pejabat.

"Dr. Razak?" kata Inspektor, terkejut melihat saksi yang dimaksudkan oleh Luqman. "Awaklah saksi bagi kes ini?"

"Ya," jawab Dr. Razak.

"Boleh awak jelaskan bagaimana kejadian itu berlaku?" tanya Inspektor.

"Boleh."

"Nanti dulu, Inspektor," halang Luqman. "Sebelum itu, saya ingin menanyakan Encik Hadi dan Encik Izwan. Bolehkah?"

"Boleh," izin Inspektor.

"Encik Hadi dan Encik Izwan, benarkah encik berdua berada di Happy Pub semalam semasa kejadian itu berlaku?" soal Luqman.

"Ya," jawab mereka berdua.

"Pasti?"

"Ya."

"Saya yakin encik berdua berbohong," kata Luqman. Semua yang mendengar kata-kata Luqman terkejut.

"Kenapa pula?" tanya Hadi dan Izwan.

"Tahukah encik berdua, bahawa semalam pihak Jabatan Agama Islam dan Biro Penyiasatan Malaysia mengadakan serbuan ke atas pub tersebut yang dipercayai menjadi sarang maksiat ketika kejadian pembunuhan itu berlaku," jawab Luqman. "Dan pihak Biro tidak menemui nama encik berdua dalam senarai mereka yang ditahan." Serta merta wajah Hadi dan Izwan berubah menjadi pucat sedikit.

"Er... itu... kerana..."

"Jadi, Doktor, boleh tak Doktor jelaskan bagaimana kejadian itu berlaku?" tanya Luqman.

"Baiklah, begini. Semalam saya dalam perjalanan balik dari rumah rakan seuniversiti saya. seperti biasa saya melalui jalan biasa. Ketika itu, saya ternampak dua orang lelaki sedang membelasah seorang lagi lelaki," jawab Dr. Razak.

"Bagaimana rupa kedua-dua lelaki yang membelasah itu, Dr.?" Tanya Inspektor.

"Rupa mereka... rupa mereka... ha, rupa mereka berdua seperti wajah mereka berdua ini," jawab Dr. Razak sambil menunjuk ke arah Hadi dan Izwan. "Mereka berdua menyerang dan membelasah seorang lelaki itu dengan bertubi-tubi. Saya mulanya tidak ingin campur tangan kerana saya sangka mereka adalah gengster."

"Jadi, Encik Hadi dan Encik Izwan, adakah awak berdua mengakui kesalahan awak berdua?" soal Inspektor. Wajah Hadi dan Izwan semakin pucat. Mereka berdua terdiam buat sebentar.

"Ya, memang kami yang membunuh Hisham," jawab Izwan akhirnya.

"HAHAHAHA!!!"

Gelak tawa Luqman menggegarkan pejabat tersebut buat seketika. Inspektor dan yang lain kehairanan melihat gelagat Luqman.

"Akhirnya awak berdua mengaku juga akhirnya," kata Luqman. "Tak sangka awak berdua mudah tertipu dengan helah sebegini."

"Maksud awak... Dr. Razak ini bukanlah saksi bagi kes ini?" tanya Inspektor.

"Ya, Tuan. saya hanya menipu mereka dengan saksi palsu ini. Walaupun begitu, mereka sememangnya tidak berada di Happy Pub kerana pub itu telah diserbu oleh Jabatan Agama Islam dan Biro Penyiasatan Malaysia semasa kejadian pembunuhan itu berlaku," jawab Luqman. "Saya sengaja lakukan rancangan ini untuk mendapatkan pengakuan mereka untuk dijadikan bukti yang kukuh bagi kes ini. Tuan sendiri sudah mendengar pengakuan mereka, bukan? Dan kalau Tuan hendak tahu, mereka berdua bersama dengan mangsa merupakan penjenayah yang dicari-cari bagi kes-kes rogol yang berlaku belakangan ini."

"Eh?"

"Bukankah menurut hasil siasatan polis, beberapa DNA orang lain selain DNA mangsa ditemui di tempat kejadian? Saya pasti Dna-Dna tersebut milik mereka bertiga," jelas Luqman lagi. "Kalau tidak percayai, Tuan boleh dapatkan sampel DNA mereka dan juga DNA mangsa. Pastinya DNA mereka dijumpai di tempat kejadian seperti air mani dan seumpamanya."

"Tapi kenapa mereka hendak membunuh rakan subahat sendiri?"

"Kerana mangsa mendapati mangsa rogol mereka seterusnya adalah sepupunya sendiri," jawab Luqman. "Saya diberitahu oleh ibu saudara mangsa bahawa mangsa amat rapat dengan anaknya semenjak kecil hingga kini. Pastinya mangsa tidak sanggup untuk melakukan jenayah seksual ke atas sepupunya sendiri dan membantah cadangan mereka berdua. Disebabkan tiada persefahaman antara mereka, maka Izwan dan Hadi segera membelasah mangsa, terutama di bahagian kelemahan mangsa. Namun mereka tidak sedari bahawa perbuatan mereka telah mengakibatkan kematian mangsa. Jadi sebaik sahaja mereka mendapati mangsa telah meninggal dunia, mereka meninggalkan mangsa bersama dengan sepupunya di tempat kejadian, untuk membuatkan bahawa mangsa dibunuh oleh sepupunya."

"Benarkah, Izwan, Hadi?" soal Inspektor Ali as-Siddiq.

"Ya, Tuan," jawab Hadi. "Apa yang dikatakan oleh budak tu adalah benar."

"Jadi, awak berdua akan didakwa atas kesalahan merogol dan membunuh bagi ketiga-tiga kes rogol serta membunuh rakan anda sendiri mengikut apa yang telah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan," dakwa Inspektor.

Dengan ini, kes ini telah diselesaikan dengan jayanya. Hadi dan Izwan akan didakwa di mahkamah atas kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan. Manakala anak Puan Fatimah, Siti Afiqah dibebaskan dari tahanan polis. Sebaik sahaja selesai kes tersebut, Luqman dan Faiz pulang semula ke Pejabat Penyiasatan Abdul Hakim.

"Tapi, aku memang tak menyangka kau akan gunakan helah sebegini, Luqman," kata Faiz sebaik sahaja mereka berdua tiba di pejabat.

"Sebenarnya, aku tak dapat nak kemukakan bukti yang kukuh hanya melalui gambar-gambar di tempat kejadian," balas Luqman, sambil meletakkan jubah hitamnya di tempat menggantung jubahnya. "Satu-satunya bukti terbaik ialah dengan pengakuan penjenayah itu sendiri. Jadi, aku minta Dr. Razak menjadi 'saksi' bagi kes ini untuk membuatkan mereka mengaku salah."

"Tapi, bagaimana kau pasti yang Hadi dan Izwanlah pembunuh bagi kes ini dan juga merupakan penjenayah yang dicari-cari untuk kes-kes rogol sebelum ini, selain mangsa?" tanya Faiz.

"Di dalam gambar yang menunjukkan badan mangsa, aku dapati beberapa tumbukan berada di bahagian yang sama, iaitu perut. Aku pasti penyerang itu menyerang bahagian itu disebabkan bahagian itulah kelemahan mangsa," jawab Luqman. "Sebab itulah aku tanya Inspektor sama ada rakan-rakan mangsa merupakan bekas peninju atau tidak sepertinya, kerana hanya orang yang terdekat dengan mangsa mengetahui hal peribadi mangsa, termasuklah kelemahannya."

Luqman segera melabuhkan punggungnya di kerusinya sambil mengeluh sedikit. Faiz bertanya, "Kenapa kau mengeluh, Luqman? Adakah sesuatu yang mengganggu di minda kau?"

"Taklah, aku hanya sedikit penat sahaja," jawab Luqman. "Marilah, kita sembahyang Asar. Waktu Asar dah masuk lima belas minit tadi. Tak elok kalau ditangguh-tangguhkan pelaksanaan solat ini."