Sunday, December 30, 2007

Kenapa Orang Gemar Memilih Membunuh Diri Sebagai Alternatif?

Apabila manusia hilang pertimbangan, hilang pedoman, Iblis dan Syaitan mudah meracuni fikiran kita, sehingga cita-cita mereka untuk menjahanamkan manusia akan tercapai...

Saya ada melihat komen untuk entri Keputusan PMR... baru-baru ini dan ia datang daripada seorang rakan sekelas saya (tak perlulah cakap namanya). Dalam komen tersebut, dia menyatakan kesedihannya kerana tidak mendapat keputusan seperti yang disasarkan. Ketika saya membaca komen itu, terlintas di dalam benak fikiran saya, adakah dia akan mengambil langkah yang paling bodoh di dalam dunia ini (iaitu membunuh diri) untuk mengubat kesedihannya? Akal saya kuat memberitahu bahawa dia besar kemungkinan tidak akan membunuh diri.

Di situ, timbul satu persoalan dalam benak fikiran saya, mengapa orang masa kini memilih membunuh diri sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah atau mengubat kesedihan mereka, misalannya kecewa kerana gagal dalam peperiksaan seperti yang berlaku sebelum ini? Hal ini membawa saya kepada menggunakan keseluruhan fikiran saya selain mencari-cari petunjuk di dalam al-Quran al-Karim (saya tidak memiliki sebarang kitab koleksi hadith, moga-moga Allah memperkenan hajat saya untuk memiliki satu kitab koleksi hadith pada masa akan datang).

Setelah saya menggunakan 100% akal saya untuk mencari jawapannya, saya dapat membuat kesimpulan bahawa pengawalan emosi yang kurang baik boleh menyebabkan seseorang itu akan melakukan apa-apa sahaja untuk menyelesaikan masalahnya sekalipun ianya bertentangan dengan syarak. Apabila seseorang itu berada dal;am suatu keadaan yang memuncak yang amat sangat (contohnya sedih kerana kehilangan ahli keluarga dan marah kerana ahli keluarga dibunuh), dia akan mencari jalan penyelesaian kepada masalah itu. di sinilah kebanyakan manusia akan kehilangan pertimbangan dan kewarasan akal serta terlalu mengikut kata hati.

Berdasarkan kepada kesimpulan di atas, seseorang yang kurang baik dalam mengawal emosi berkemungkinan akan memilih membunuh diri sebagai satu daripada alternatif-alternatif yang ada. Maka sesungguhnya, mereka telah sesat di tengah jalan. Tidakkah mereka mengetahui akan balasan terhadap mereka yang membunuh diri? Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullahu ta'ala:

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, sabdanya: "Barangsiapa yang menjatuhkan dirinya dari atas gunung untuk membunuh dirinya, maka dia akan mendiami Neraka Jahannam dalam keadaan kekal abadinya dalamnya. Dan sesiapa membunuh dirinya dengan meminum racun, maka racun itu tetap di tangannya yang akan diminumnya dalam Neraka Jahannam untuk selama-lamanya. Dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besinya itu akan tetap di tangannya untuk ditusukkan pada perutnya di dalam Neraka Jahannam untuk selama-lamanya.

Satu langkah penyelesaian bagi membendung masalah ini daripada menular ke dalam masyarakat sehingga menjadi budaya mereka ialah dengan meningkatkan keimanan mereka. Di dalam Islam, di dalam Rukun Iman, terdapat satu rukun yang menjadi kewajipan umat Islam untuk mempercayainya dan meyakininya, iaitu beriman kepada qada' dan qadar Allah, sama ada baik mahupun buruk. Satu kepercayaan yang teguh harus ditanamkan dalam diri bahawa Allah subhanahu wa ta'ala telah menentukan dan menetapkan ketentuan pada diri mereka masing-masing seperti rezeki, jodoh, ajal, dan sebagainya. Ramai yang menganggap bahawa mereka tidak perlu berusaha memandangkan Allah telah menentukan segala perkara. Anggapan ini salah dan menyalahi konsep qada' dan qadar manusia. Walaupun segala perkara telah ditentukan, ada sesetengahnya merupakan ketentuan Allah terhadap sesuatu perkara mengikut usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri yang dinamakan qada' mu'allaq. Kejayaan dan kegagalan mereka merupakan urusan Allah, apa yang perlu manusia lakukan ialah berusaha untuk mencapai kejayaan dan bertawakal kepada-Nya. Ingat, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah dan sebab di sebaliknya.

Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap yang telah dibawa oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Islam amat melarang keras umatnya menjuruskan diri mereka ke dalam kebinasaan. Firman Allah subhanahu wa ta'ala di dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

"Belanjakan (harta kamu) untuk jalan Allah dan janganlah kamu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Buatlah kebaikan, sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berbuat baik."

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, ad-Daruqutni, Imam Malik dan lain-lain:

"Tidak ada mudarat dan tidak boleh melakukan kemudaratan."

Disebabkan Islam menolak kemudaratan, maka Islam telah menetapkan banyak larangan, antara larangan memakan babi, meminum arak, berjudi dan sebagainya, termasuklah juga membunuh diri. Membunuh diri bukan sahaja membawa kemudaratan kepada diri, malah menjadi tanda bahawa kita tidak menghargai nyawa yang telah Allah berikan kepada kita.

Saya amat berharap tiada sesiapa yang membunuh diri sebagai jalan penyelesaian, termasuklah juga ahli keluarga dan sahabat handai saya, insya-Allah.

Thursday, December 27, 2007

Keputusan PMR...

Aku ingin memulakan catatan hari ini dengan puji-pujian dan syukurku kepada Allah subhanahu wa taala yang telah mengurniakan kejayaanku dalam PMR. Selawat dan salamku ke atas Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat. Alhamdulillah, hari ini aku mendapat keputusan PMRku setelah berusaha selama dua tahun sembilan bulan. Keputusan yang kuperoleh ialah straight 8A. Wow!! Mulanya aku sangka keputusannya tidak seperti yang disasarkan kerana mempunyai masalah dalam Sains (Kertas 2 ada seikit sukar pada Bahagian B) dan Pendidikan Islam (kehilangan 8 markah secara pasti disebabkan tersalah jawab).

Aku amat berterima kasih kepada kesemua guruku yang telah mengajarku dan juga rakan-rakanku (dari ting. 1 hingga ting. 3) sehingga kami mendapat keputusan yang cemerlang, termasuklah:


  1. Cikgu Noorniza (Guru Tingkatan, merangkap Guru Sejarah yang amat tegas);
  2. Cikgu Rabiah (Guru BM yang boleh berjenaka dan serius dalam satu-satu masa);
  3. Cikgu Grace Lim (Guru BI yang bimbang akan Bi anak-anak murid 3A);
  4. Cikgu Lau Siah Teck (PKHEM merangkap guru tuisyen yang banyak berkongsi pengetahuan yang tidak dipelajari di dalam kelas);
  5. Cikgu Wendy Tiong (Guru Math yang tegas dan peramah);
  6. Cikgu Ling Siew Hong (Guru Sains sentiasa sabar walaupun anak-anak muridnya kadang-kadang berkelakuan sedikit seperti 'monyet');
  7. Cikgu Ling Ngaie Ping (Guru Sains semasa di Ting. 2 yang serius semasa mengajar dan ramah ketika tidak mengajar);
  8. Cikgu Shapiah (Guru Geografi yang juga tergas ketika mengajar tetapi ramah ketika di luar kelas);
  9. Ustazah Hasnah (Guru Pend. Islam yang sentiasa menasihati anak-anak muridnya dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam);
  10. Cikgu Kiung (Guru KHB-KT sejak Ting. 2 hingga Ting. 3 yang inginkan anak-anak muridnya ber'kemahiran hidup').


Tanpa mereka semua aku takkan dapat 8A seperti yang kuperoleh hari ini. Betul tak? Semoga Allah subhanahu wa taala membalas kesemua usaha, jasa dan pengorbanan mereka dengan sebaik-baik balasan.

Tak dilupakan juga dengan mereka yang mendoakan kejayaan dan juga kejayaan rakan-rakanku (seramai 17 orang dari kelasku, iaitu 3A), semoga Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan.

Wednesday, December 26, 2007

26 Disember...

Hari ini dah masuk 26 haribulan Disember 2007. Sedar tak sedar... dah sampai masanya untuk masuk ke tahun yang baru. Rasa seperti masa berlalu dengan pantas... lebih pantas daripada biasa, sehingga tidak dirasakan hampir setahun telah berlalu.

Esok merupakan hari yang - boleh dikatakan - penting bagi pelajar-pelajar Tingkatan Tiga (termasuk aku), kerana esok keluarnya keputusan PMR yang dinanti-nantikan. Entah mengapa, kenapa fikiranku bercelaru... bukan, teramat bercelaru dan gundah gulana... dan apa yang aku gundahkan dan celarukan itu bukan sekadar satu perkara, tetapi dua perkara...

Tetapi, hatiku menjadi sedikit tenang setelah mendengar azan dari Masjid Nabawi yang aku muat turun dari sebuah laman web (yang menyimpan rekod video dan audio siaran langsung solat Subuh, Maghrib, Isyak dan solat Jumaat dari Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi)...

Aku harap agar esok bukanlah hari yang memberi 1001 kesedihan dan kemurungan kepadaku, malah memberi 1001 kesenangan dan kegembiraan kepadaku...