Semalam penulis begitu malas untuk menulis disebabkan terpaksa menguruskan sesuatu perkara. Jadi dalam entri kali ini, penulis akan menceritakan apa yang berlaku semalam dan hari ini.2 Sept - Ujian Semester Matematik Tambahan
Awal pagi, penulis berasa letih sedikit, kerana penulis bangun pada pukul 3.00 pagi untuk mengemaskan buku ke dalam beg sekolah dan kemudiannya menunaikan solat Tahajjud 10 rakaat, sebelum penulis bersahur. Penulis dikejutkan dengan ujian semester bagi subjek Matematik Tambahan (yang telah tercatat dalam diari sekolah penulis). Faham-fahamlah, kalau dah terkejut tu maknanya belum buat ulangkaji lagi.
Akibatnya, penulis mengalami kesukaran menjawab soalan-soalan tersebut, terutamanya berkaitan bab Coordinate Geometry. Penulis telah lupa formula mencari gradient bagi garisan yang bersudut lurus dengan garisan yang lain, yang mana pada akhir ujian, barulah penulis mengingati formulanya. Walau bagaimanapun, masa tidak menyebelahi penulis, menyebabkan empat (lebih kuranglah) soalan tidak dijawab penuh.
2 Sept - Menangis dalam Sujud
Keletihan ketika berpuasa semalam bertambah teruk apabila Nadzmi mengatakan dia tidak dapat menyertai kumpulan tadarus al-Quran, menyebabkan penulis terpaksa membaca al-Quran seorang diri di Surau al-Jauhari, SMK St. Joseph. Inilah sikap manusia. Pada saat-saat akhir tak dapat pula tunaikan janji.
Merasakan diri penulis diperbodohkan, penulis terpaksa bersabar. Namun, penulis meluahkan rasa marah penulis dalam bunyi menyindir. Dalam solat zuhur, entah mengapa, penulis memikirkan kebodohan penulis. Kebodohan penulis sehingga diperbodohkan oleh rakan sendiri, kebodohan penulis sehingga perasan menyukai 'gadis itu'. Dalam sujud terakhir itu, entah mengapa air mata penulis mengalir. Penulis berdoa kepada Allah sambil menangis, meminta-Nya membantu penulis menghadapi kesedihan tersebut.
Setelah selesai solat, penulis pun membaca al-Quran. Seorang pelajar tingkatan lima, Mohd. Zikri, menyedari air mata di pipi penulis. Apabila dia bertanya mengapa penulis menangis, penulis menggelengkan kepala, enggan menceritakan masalah kepada orang lain. Penulis hanya menceritakan kebanyakan masalah penulis kepada Allah.
Hanya al-Quran yang mampu mengubat jiwa penulis ketika itu. Penulis beransur-ansur kembali seperti biasa apabila membaca al-Quran. Walaupun penulis tidak memahami kebanyakan ayat-ayat yang dibaca, tetapi susunan-susunan ayat sangat menusuk jiwa penulis. Benar-benar indah.
Kini, penulis merasakan al-Quranlah 'sahabat karib' penulis. Apabila penulis membacanya, ayat-ayatnya mengubat jiwa penulis. Apabila penulis memahami ayat-ayat Allah, terkandung jalan keluar bagi apa-apa masalah yang penulis hadapi.
Itulah personaliti penulis. Nampak biasa di luar, tetapi sebenarnya penuh masalah di dalam.







